KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-42 perbicaraan berprofil tinggi penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengesahkan suara Datuk Seri Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi di sini memainkan rakaman audio dikatakan perbualan antara bekas perdana menteri itu dengan pemimpin Arab.

Saksi itu yang juga bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, suara rakaman itu sememangnya kedengaran seperti Najib.

Sebanyak empat rakaman dimainkan, tiga daripadanya dikatakan perbualan antara Najib dan pemimpin dari Arab.

“Sesiapa sahaja boleh cam suara itu tetapi ia tidak berlaku di hadapan saya jadi saya katakan, salah satu suara itu seperti suara Datuk Seri Najib, satu lagi suara seperti orang Arab,” katanya ketika di soal Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib.

Pada masa sama, Mohd Irwan juga mengenal pasti suara bekas Pegawai Khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dalam salah satu rakaman berkenaan.

Sejurus selepas saksi ke-41 pendakwaan dilepaskan, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah telah membenarkan permohonan pendakwaan untuk menerima masuk empat rakaman audio terbabit sebagai bukti dalam prosiding kes.

Sebelum ini pendakwaan telah memohon rakaman bukti dimasukkan masuk mengikut Seksyen 41(A) Akta SPRM yang mengatasi Seksyen 65 Akta Keterangan berkaitan bukti berdokumen.

Permohonan ini juga bagi mencabar pergantungan Najib terhadap pembelaan derma daripada Arab.

Untuk makluman juga, rakaman audio pernah dipertikaikan dimainkan di mahkamah ketika Mohd Irwan memberi keterangan tahun lalu.

Dalam rakaman itu kedengaran suara seperti Najib memanggil seorang individu sebagai ‘Yang Teramat Mulia’ dan bercakap mengenai keperluan menyelesaikan isu 1MDB dan International Petroleum Investment Co (IPIC) yang ketika itu sudah menjadi sebutan dan didakwa memalukan Malaysia serta Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ketika disoal balas oleh peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang menyoal adakah saksi pasti itu adalah tulen atau palsu, kata Mohd Irwan, beliau tidak pasti.

Namun beliau juga bersetuju seseorang tidak akan mengetahui konteks sebenar perbualan tanpa mendengar rakaman perbualan itu sepenuhnya.

Prosiding ditangguhkan dan akan disambung pada 7 Julai depan.

Ketika ini, Najib mantan Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama. – MalaysiaGazette