Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bekerja keras untuk memenangi enam negeri pada PRN ini.

TARIKH Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-15 di enam negeri yang masih berbaki selepas PRU15 November tahun lalu, bukan rahsia lagi.

Umum sudah tahu, PRN di Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan diadakan paling lewat pun awal atau pertengahan Ogos ini.

Semua jentera parti yang bertanding telah bersiap siaga, kecuali ada beberapa negeri masih peringkat akhir pengagihan kerusi.

Pengagihan kerusi ini selesai agak lewat kerana semua parti telah bergabung dalam satu organisasi politik yang dinamakan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, proses pengagihan kerusi tidak rumit kerana masing-masing bertanding atas nama parti sendiri seperti Barisan Nasional (BN) dengan komponen utamanya, MCA dan MIC.

Manakala Pas pula tidak ada masalah kerana parti itu bertanding atas namanya sendiri dan mudah untuk menyenaraikan nama calon serta akan meletakkan di mana-mana kerusi yang difikirkan perlu.

Sekarang, tidak boleh meletakkan calon sesuka hati kerana rakan gabungan juga perlukan kerusi untuk bertanding.

Jadi, berlaku sedikit kerumitan dalam pengagihan kerusi kerana kerusi akan dibahagikan sama rata antara komponen gabungan.

Berbalik kepada PRN di enam negeri ini pula, masing-masing antara PH dan PN yakin dapat mempertahankan negeri yang disandang, malah tidak mustahil ada satu dua negeri yang bakal bertukar pemerintahan.

Parti mana yang dinobatkan menang majoriti akan diketahui pada malam pilihan raya nanti yang akan diumumkan secara rasmi oleh SPR.

Pelbagai persoalan timbul, dapatkah PN mengekalkan tiga negeri yang disandangnya iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah? Manakala PH pula dapatkah mengekalkan Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor?

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan gabungannya dalam PN tidak akan memberi laluan mudah kepada PN dalam PRN di enam negeri Ogos ini.

Senario PRU15 pada 19 November lalu menjadi kayu ukur kepada pengundi, sama ada hendak mengekalkan negeri yang diperintah oleh PN dan PH atau mereka merasakan patut ditukar kepada kepimpinan baharu.

Semuanya terpulang kepada pengundi kerana mereka yang akan menentukan nasib negeri mereka diperintah oleh siapa.

Antara negeri yang selesai menjalani proses pilihan raya negeri ialah Melaka pada 20 November 2021, Johor (12 Mac 2022) dan Perlis, Perak serta Pahang pada 19 November 2022.

Daripada lima negeri yang telah selesai ini, empat dimenangi BN/PH iaitu Melaka, Johor, Perak dan Pahang manakala Perlis dimenangi parti PN.

Di sini menyaksikan BN/PH sudah mendahului 4-1, tidak termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah yang dimenangi PN pada PRU14 tahun 2018.

Yang pasti, sebelum akhir bulan ini, enam negeri yang terbubar secara automatik, walaupun sudah ada yang mengumumkan pembubaran DUN pada 22, 23 dan 27 Jun ini.

Di peringkat kerajaan Persekutuan, PH sudah menang selesai dengan lebih dua pertiga majoriti apabila gabungan 19 parti berjaya membentuk kerajaan perpaduan pada 24 November tahun lalu.

Tinggal lagi, sejauhmana PN yang dibarisi parti Pas, Bersatu dan Gerakan dapat menafikan kemenangan PH itu di peringkat negeri.

Di Semenanjung, ada sebanyak 11 negeri yang terlibat dalam pilihan raya. Setakat ini, lima negeri sudah selesai, tinggal lagi enam negeri yang bakal menentukan nasib PH atau PN.

Jika PN berjaya kekalkan tiga negeri yang dimenanginya pada PRU14 yang lalu dalam PRN 15 Ogos ini, parti itu kekal sebagai pembangkang sehingga tempoh akhir PRU15 pada 2027.

Tetapi, jika PN berjaya merampas dua atau tiga lagi negeri pada Ogos ini, tidak mustahil akan menggugat pentadbiran PH di peringkat pusat.

Ia umpama seorang bapa mempunyai 11 anak, dengan enam daripadanya anak tiri berlainan ibu lain. Sudah tentu kacau bilau keharmonian rumah tangganya.

Sedangkan, sesebuah kerajaan atau sesebuah keluarga memerlukan keharmonian, kesejahteraan hidup agar mudah ketua keluarga membina kehidupan yang baik, aman dan sentosa.

Situasi ini yang mendebarkan sesetengah pemerhati politik. Ada yang meramalkan, jika ia berlaku, saling tidak tumpah suasana politik sama seperti sepanjang tempoh PRU14, yang menyaksikan tiga kali pertukaran kerajaan atau pentadbiran.

Mereka mengharapkan perkara itu tidak berulang lagi pada PRU15, tetapi nampaknya ia semakin rumit, kerana bila-bila masa akan berlaku lagi kerajaan tebuk atap.

Walaupun, Perlembagaan Negara sudah memasukkan Akta Anti Lompat Parti, yang melarang individu dalam kalangan ahli Parlimen atau ADUN lompat parti tetapi setiap pemimpin politik mempunyai kelicikan tersendiri.

Mereka tahu tidak boleh lompat, mereka guna kaedah lain. Kaedah yang membolehkan kerajaan bertukar tangan.

Pada orang politik, mereka tidak fikir perbuatan itu akan menyusahkan rakyat, boleh menyebabkan ekonomi negara dan pentadbiran terganggu, tetapi demi kepuasan diri, apa mereka peduli.

Kalau mereka seorang yang peduli dengan permasalahan itu, maka tidak berlaku Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Langkah Sheraton bermula apabila 11 Ahli Parlimen dari PKR mengumumkan keluar parti dan beberapa ahli Parlimen dari parti Bersatu keluar dari gabungan PH.

Mana mereka nak ambil iktibar dari pengalaman lalu. Yang penting, mereka dapat kuasa memerintah. Masalah rakyat, selesaikan kemudian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. saya berharap kerajaan akan bertukar sebab pemimpin ph ramai yang sombong dan tak progres bila dah jadi menteri

    • …. itulah sebab PMX nak rombak cabinet selepas PRN …. tukar menteri bukan kerajaan …. kita semua kena kaji lebih dalam ….

Comments are closed.