Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai (kanan) dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck (kiri) serta yang lain pada Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional di Publika, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 30 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijadual memuktamadkan rundingan kerusi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri petang, esok.

Berdasarkan jemputan media, satu sidang media akan diadakan jam 5 petang esok di ibu pejabat gabungan itu di Publika Damansara.

“Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi diikuti Mesyuarat Majlis Presiden Perikatan Nasional akan berlangsung esok di Ibu Pejabat Perikatan Nasional di Publika bermula pukul 3.00 petang,” demikian menurut jemputan media berkenaan.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata agihan kerusi gabungan itu sudah mencapai tahap 99 peratus selesai.

Ia akan diselesaikan antara parti-parti komponen PN, esok hari kata Muhyiddin.

Jelasnya, rundingan hanya berbaki beberapa perkara sebelum dimuktamadkan dan pemilihan calon dibuat parti-parti dalam PN.

Enam negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dijangka mengadakan PRN serentak walaupun tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) di semua negeri berkenaan berbeza.

Setakat ini, hanya tiga negeri telah mengumumkan tarikh pembubaran Dun iaitu Kelantan 22 Jun, Pulau Pinang 28 Jun dan Negeri Sembilan 30 Jun. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast