Seorang remaja maut manakala seorang pelajar sekolah cedera selepas motosikal masing-masing bergesel ketika mengelak pemotong rumput di Jalan Telok Mas  petang semalam.

MELAKA – Seorang remaja maut manakala seorang pelajar sekolah cedera selepas motosikal masing-masing bergesel ketika mengelak pemotong rumput di Jalan Telok Mas  petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu, mangsa, Muhammad Yusri Akbar, 18, menunggang motosikal jenis Honda RS 150 meninggal dunia tempat kejadian manakala pelajar sekolah, Mohammad Syafiq Mohamed, 16, cedera di tangan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, Mohammad Syafiq dalam perjalanan menuju ke sekolah di Pernu.

“Sebaik tiba di lokasi, mangsa yang menunggang Modenas Kriss cuba mengelak pemotong rumput yang berada di sebelah kiri dengan bergerak ke kanan.

“Ketika itulah, berlaku pelanggaran dengan motosikal ditunggangi Muhammad Yusri menyebabkan pembantu kedai makan itu parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.

Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hopsital Melaka untuk proses bedah siasat dan siasatan akan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette