KUALA LUMPUR – Sumbangan berjumlah RM100,000 yang diberikan oleh Yayasan Bank Rakyat mampu memberi perangsang kepada pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk meneruskan pelajaran peringkat yang lebih tinggi.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, sumbangan itu merupakan hadiah kepada mereka yang cemerlang dan mendapat keputusan baik di mana pihak bank turut sama membantu dengan memberikan sokongan moral menerusi sumbangan itu.
“Seperti mana yang saya tekankan, ini adalah langkah yang seterusnya.
“…dan saya bincang kita nak juga kalau boleh budak-budak (pelajar-pelajar) ini dapat berfikir dengan lebih kritis dan juga boleh menentukan yang mana baik dan yang mana buruk,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Sekolah Di Sekitar Kawasan Bandar Tun Razak hari ini.
Sementara itu, Ketua Bahagaian Operasi Bank Rakyat, Mohd Mukhti Abd Rahman berkata, seramai 1,000 pelajar daripada golongan B40 yang kurang berkemampuan dan juga asnaf akan mendapat bantuan daripada jumlah sumbangan yang diberikan oleh pihak bank.
Katanya, kesemua itu terdiri daripada pelajar-pelajar daripada 14 buah sekolah dari sekitar Bandar Tun Razak.
“Dengan pro gram ini kita harap lebih ramai pelajar-pelajar dapat dibantu dan sumbangan ini dapat memberi lebih motivasi kepada mereka untuk belajar dengan lebih baik.
“Pada masa sama (ia) untuk mereka sedar yang diluar sana ramai pihak ingin membantu dan melihat kejayaan mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette