IPOH – Polis menahan seorang lelaki warga asing yang dipercayai mencabul kehormatan wanita di tapak pasar malam Taman Perpaduan, Tambun di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 20 tahun itu ditahan selepas pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun.

“Suspek direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul kehormatan.

“Pihak polis juga sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi cadangan pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Yahaya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai video itu hingga menjejaskan siasatan polis serta mendatangkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 14 saat menunjukkan seorang lelaki memakai baju-T warna biru ditahan polis selepas dipercayai meraba seorang pengunjung pasar malam di Taman Perpaduan di sini. – MalaysiaGazette