KUANTAN – Bayi lelaki yang ditemui perkarangan lobi belakang Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 17 Jun lalu dilaporkan semakin stabil.
Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Sabariah Saidan berkata, bayi berkenaan masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.

“Syukur bayi lelaki selamat, bayi tersebut masih menerima rawatan rapi di Unit Intensif Neonatal (NICU).
“Benda sudah terjadi, jadi kita perlu ambil tanggungjawab dan iktibar bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan bayi,” katanya.
Ketika ditanya kewajaran mewujudkan ‘baby hatch’ bagi mengelakkan kes pembuangan bayi, Sabariah berkata, kerajaan negeri sedang mengkaji perkara tersebut.
“Diharapkan masyarakat mengambil tanggungjawab dan peka keadaan sekeliling bagi menyelamatkan bayi jika ada kes sebegini.
“Kita bukannya menggalakkan kes sebegini berlaku. Tanggungjawab pihak kerajaan dalam situasi ini adalah memastikan keselamatan bayi dan memberi perhatian agar bayi berkenaan diberi perlindungan dan jagaan sebaik mungkin oleh JKM,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.
Kes seumpama ini adalah kali kedua berlaku setakat tahun ini. – MalaysiaGazette
















