DAMANSARA – Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak dakwaan bahawa beliau sudah tidak sehaluan dengan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Presiden Bersatu itu berkata, ia hanya dakwaan yang sengaja dibuat untuk melaga-lagakan beliau dengan Hamzah.
“Ini dibuat sebab dah tiada modal. Pada hal parti paling harmoni ialah PN. Pas, Bersatu, Gerakan, tiada masalah langsung. Dalaman masing-masing pun damai. Kami bertengkar pun tiada, sengaja dibuat-buat saja.
“Bila masa saya bertumbuk dengan Hamzah. Ini semua ‘psywar’ (perang saraf),” katanya dalam sidang media selepas memuktamadkan rundingan kerusi petang ini, di ibu pejabat gabungan itu.
Muhyiddin membuat kenyataan itu selepas Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut enggan mengulas isu tersebut.
“Tak apa tanya Pengerusi,” kata Hamzah dalam sidang media sama.
Selain Hamzah, sidang media itu turut dihadiri Pesiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Presiden Gerakan, Datuk Dr Diminic Lau serta Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dakwaan itu hanya dibuat untuk mengalihkan isu daripada pihak-pihak tertentu.
“Jangan percaya, ini psywar, pihak-pihak cybertroopers and mereka yang gunakan media sosial untuk mengalihkan isu pokok yang tak diselesaikan,” katanya lagi.
Isu ini timbul susulan laporan yang mendakwa beliau dan Hamzah bertelagah mengenai hala tuju parti.
Malah, kedudukan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Parlimen mungkin akan digantikan oleh Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor. – MalaysiaGazette
















