Foto yang dikongsi Ebit Lew di Facebook beliau.

KUALA LUMPUR – Ramai pengikut Ebit Lew meminta supaya pendakwa tersebut mendoakan mereka ketika berada di Mekah untuk mengerjakan ibadah haji.

Ebit Lew dalam perkongsian di Faebook membuat tawaran kepada pengikutnya untuk menuliskan hajat mereka untuk beliau bacakan.

“Alhamdulillah. Doakan ya. Semoga Allah terima haji kami. Jika sempat saya bacakan doa yang tuan puan tulis di bawah insya-Allah di sini. Sama-sama kita saling mendoakan ya,” kata beliau ringkas.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew berkongsi foto beliau dan isterinya berada di hadapan Kaabah dalam Facebook beliau.

Rata-rata pengikut pempengaruh media sosial itu mendoakan ibadah Ebit dan isteri dipermudahkan serta mendapat haji mabrur.

Selain itu mereka meminta Ebit mendoakan agar mereka turut diberikan kesempatan untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu serta sembuh daripada penyakit dan diberikan kesihatan yang baik.

“Semoga Allah mempermudahkn haji ustaz sekeluarga. Doakan kami sekeluarga diberi kesihatan yang terbaik. Kalau ada penyakit diberi kesembuhan, diberikan rezeki melimpah ruah, keluarga yang bahagia. Anak-anak yang soleh dan sentiasa dirahmati Allah,” kata Jajalil Kathy.

“Salam, ustaz. Doakan saya dan keluarga dapat buat haji dan umrah, dikurniakan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki melimpah ruah seperti air zamzam yg mengalir deras dan dipermudahkan segala urusan dan anak-anak saya dan keturunan yang soleh dan solehan,” minta Wan Zaliha.

“Syukur alhamdulillah. Tahniah tuan Ebit Lew. Doakan moga kami sekeluarga sihat dapat beribadah dengan sempurna, tetapkan iman kami sekeluarga. Moga kami sekeluarga dapat mengerjakan ibadah haji di tahun hadapan insya-Allah,” kata Muhamad Kamarul.

“Doakan mak dan ayah saya. Saya sekeluarga adik beradik saya sihat dan selamat dunia akhirat. Dan doakan ibu mertua saya yang sedang berada di sana menunaikan haji juga tahun ini sihat. Kaki beliau tak berapa sihat. Tak boleh terlalu banyak berjalan. Doakan semoga mak mertua saya dipermudahkan segala urusan di sana,” kata Ejan Osman.

Ebit ketika ini berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.-MalaysiaGazette