PN ekonomi negara
Kerajaan PN dikatakan gagal menangani dengan baik krisis ekonomi yang berpunca daripada pandemik Covid-19. - Gambar hiasan

DALAM kehangatan suasana menjelang enam pilihan raya negeri (PRN), pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) kelihatan begitu galak memainkan isu krisis ekonomi yang sedang dihadapi negara ketika ini untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.

Antara isu yang kerap dimainkan mereka adalah penyusutan nilai ringgit, kos sara hidup yang meningkat dan kenaikan harga barangan keperluan khususnya makanan.

Walaupun apa yang dibangkitkan pembangkang itu berkaitan masalah yang meresahkan rakyat, PN dilihat seolah-olah mengambil kesempatan memanipulasi isu-isu tersebut bagi memburuk-burukkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang akan ditentang mereka pada PRN.

Mereka terlupa agaknya bahawa satu jari yang dituding ke arah kerajaan, empat jari lagi menghala ke diri sendiri.

Namun, rakyat yang menderita akibat krisis ekonomi yang berlaku semasa pandemik Covid-19 dahulu tidak lupa betapa peritnya hidup di bawah kerajaan PN yang mentadbir mulai 1 Mac 2020 hingga 16 Ogos 2021.

Memang benar, seluruh dunia dilanda krisis yang sama ketika itu tetapi yang membezakan adalah langkah yang ambil oleh setiap negara bagi menangani kesannya terhadap rakyat khususnya dari segi ekonomi.

Komuniti perniagaan terutamanya peniaga kecil amat terjejas dengan sekatan pergerakan separuh masak yang dikuatkuasakan kerajaan sehingga menyebabkan sebahagian daripada mereka ‘terduduk’ dan tidak mampu lagi bangkit sehingga kini.

Bantuan tunai yang diberikan kerajaan tidak banyak membantu memulihkan keadaan kerana ia hanya disasarkan kepada golongan B40 sedangkan golongan M40 yang juga hidup dalam kesusahan telah dipinggirkan.

Permohonan rakyat untuk mengeluarkan sebahagian wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka juga pada mulanya tidak diendahkan dan pelbagai alasan diberikan oleh kerajaan untuk mewajarkan keputusan itu.

Malah seorang pemimpin PN iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan ‘sokongan bersyarat’ BN terhadap Belanjawan 2021 yang dinyatakan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak umpama ‘hikayat Puteri Gunung Ledang’.

Sehari sebelumnya iaitu pada 10 November 2020, Najib menyatakan, sokongan BN terhadap Belanjawan 2021 adalah sokongan bersyarat kerana UMNO masih menuntut kerajaan supaya melanjutkan moratorium selama enam bulan dan membenarkan pengeluaran one-off hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP.

Akhirnya, hasil desakan berterusan daripada BN, kerajaan PN terpaksa akur dan membenarkan beberapa siri pengeluaran wang KWSP bagi meringankan beban pencarum yang terjejas akibat krisis pandemik Covid-19.

Kegagalan kerajaan PN menguruskan ekonomi negara dengan baik juga bukan sekadar hikayat dongeng kerana ia dibuktikan melalui perangkaan yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.

Pada 2020, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia mencatatkan penguncupan sebanyak -5.53 peratus dan kadar itu lebih rendah jika dibandingkan dengan kadar KDNK keseluruhan dunia pada -3.51 peratus.

Begitu juga dengan tahun berikutnya di mana pertumbuhan KDNK Malaysia pada 3.09 peratus adalah lebih rendah berbanding KDN keseluruhan dunia sebanyak 5.6 peratus.

KDNK
Sumber: Bank Dunia

Kalau hendak dibandingkan prestasi ekonomi negara semasa zaman PN dan di bawah pentadbiran BN yang diketuai Najib, ia boleh diibaratkan ‘umpama langit dengan bumi’.

Sepanjang tempoh 2009 hingga 2017, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia secara konsisten mengatasi KDNK keseluruhan dunia serta menunjukkan prestasi memberangsangkan iaitu 7.42 peratus pada 2010.

Pentadbiran Najib turut digegarkan dengan tiga krisis ekonomi dunia iaitu krisis subprima Amerika Syarikat (AS) pada 2009 dan krisis hutang negara-negara Eropah (2010 hingga 2012) serta krisis kejatuhan harga minyak (2014 hingga 2016).

Kerajaan BN di bawah pentadbiran Najib berjaya mengemudi negara mengharungi krisis tersebut tetapi malangnya, rekod cemerlang itu tidak dapat diteruskan oleh kerajaan PN yang diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2020 dan 2021.

Kini pemimpin-pemimpin PN dan tentera siber mereka cuba menutup hakikat kegagalan pentadbiran Muhyiddin dengan memperlekehkan usaha yang yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan untuk memulihkan ekonomi negara.

Mereka cuba mengaburi mata rakyat daripada melihat kepincangan yang berlaku ketika PN memerintah dahulu dan ingin menjadikan PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu sebagai batu loncatan untuk kembali berkuasa.

Cukup-cukuplah kerosakan yang dilakukan terhadap ekonomi negara selama 17 bulan PN memerintah dahulu. Rakyat tidak mahu episod ngeri itu kembali berulang.

Dalam tempoh tujuh bulan ini, masih terlalu awal untuk menilai keupayaan Kerajaan Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengembalikan prestasi ekonomi negara seperti di zaman Najib.

Berilah peluang kepada Anwar dan pasukannya bekerja keras sehingga hujung penggal dan sekiranya prestasi mereka tidak memuaskan, rakyat berhak menentukan nasib mereka pada Pilihan Raya Umum Ke-16.

Sementara menunggu detik itu tiba, pakar-pakar ekonomi dalam PN boleh menyumbang idea bagi membantu kerajaan membina semula ekonomi negara yang terjejas akibat kegagalan mereka menguruskan krisis pandemik Covid-19 dahulu.

Anwar telah menunjukkan keterbukaannya dengan menjemput bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang dikatakan kini pro-PN dalam sesi perbincangan mengenai hala tuju negara pada 16 Jun lalu.

Tidak mustahil Anwar juga bersedia memberi ruang kepada pakar-pakar ekonomi PN untuk memberi pandangan membina demi kemaslahatan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Malas nak ulas..tp mcm tak cerdik sgt penulis artikel ni. Zaman najib ada ka lockdown seluruh dunia? Ada ka seluruh dunia berpusu2 tutup sempadan negara masing2 dan hanya berebut2 cari jalan nak elak rakyat mati sakit. Cuba kasi satu nama perdana menteri yg pernah handle negara masa epidemik melanda dunia yg takda ubat masa tu.
    Cuba banding pulak dengan 2023 ni. Takda lockdown, takda epidemik, tp ekonomi lagi teruk. Penulis tak nak ulas kah? Tak nak banding kah?

Comments are closed.