Gambar pertemuan Dr. Mahathir Mohamad dan Erdogan.-Foto Presidency of the Republic of Turkiye

KUALA LUMPUR – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan meminta kerjasama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menjayakan Sidang Kemuncak Istanbul yang dirancang diadakan hujung tahun ini.

Menurut Pentadbir Facebook Dr. Mahatahir Mohamad, hasrat itu disuarakan Erdogan dalam pertemuan dengan Mahathir selama satu jam di Kompleks Presiden, Turkiye.

Sidang kemuncak berkenaan adalah susulan kejayaan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur yang berlangsung pada 2019.

“Menurut perbincangan itu, Presiden Erdogan berkata beliau berminat untuk mengadakan persidangan yang sama Sidang Kemuncak Istanbul untuk menerokai lagi potensi yang telah dikenal pasti dan diteruskan dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

“Presiden Erdogan kemudian mencadangkan Sidang Kemuncak Istanbul diadakan sama ada pada September atau Oktober tahun ini yang dipersetujui Dr. Mahathir.

“Presiden Erdogan berkata beliau ingin Dr Mahathir serta pasukan Sidang Kemuncak Kuala Lumpur bekerjasama dengan pihak Turkiye untuk bekerjasama dalam cadangan Sidang Kemuncak Istanbul,” katanya.

Dalam pertemuan itu, Mahathir juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada Erdogan atas kejayaannya mengekalkan jawatan Presiden dalam Pilihan Raya Turkiye baru-baru ini.

Selain itu, Mahathir turut merakamkan ucapan takziah kepada mangsa gempa bumi yang meranapkan beberapa wilayah di republik itu yang turut mengorbankan ribuan rakyat negara tersebut.

“Terdapat juga banyak perbincangan mengenai nasib umat Islam dan keperluan untuk membantu umat Islam dan negara mereka yang menghadapi kesusahan dan peperangan.

“Dr Mahathir juga mengakui, memandangkan perkembangan pesat dan kemajuan Turkiye dalam pelbagai bidang, ia boleh menjadi negara contoh kepada negara Islam yang lain,” katanya.

Erdogan mengangkat sumpah sebagai Presiden Turkiye untuk penggal ketiga pada 3 Jun lalu selepas memenangi pemilihan semula.

Pemimpin berusia 69 tahun itu memenangi 52.2 peratus sokongan dalam undian terakhir pada 28 Mei.

Kemenangannya dalam pilihan raya menafikan kebanyakan tinjauan pendapat, malah hadir di sebalik krisis kos sara hidup yang dilihat berisiko menjejaskan peluang beliau untuk menang. – MalaysiaGazette