Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Sumbangan Tunai Rahman (STR) Fasa 3 akan disalurkan kepada penerima secara berperingkat bermula 26 Jun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan berkata, Kerajaan telah memutuskan pembayaran STR 3 dipercepatkan berbanding perancangan awal pada bulan Julai.

Menurutnya, bayaran berkenaan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha bagi meringankan beban kewangan rakyat,

“Pembayaran ini membabitkan peruntukan lebih RM2 bilion di mana penerima akan menerima antara RM100 hingga RM1,300 berdasarkan kelayakan masing-masing,” katanya.

Penerima yang mempunyai akaun bank akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing sehingga 5 Julai nanti.

Pembayaran secara tunai akan dibuat kepada penerima yang tidak mempunyai akaun melalui cawangan Bank Simpanan Nasional.

Sebagai langkah memastikan program STR 3 ini disasarkan kepada mereka yang layak tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 3 hingga 31 Julai.

Bagi permohonan yang ditolak pemohon boleh mengemukakan dokumen berkaitan untuk semakan semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Fasa pertama dan kedua STR telah disalurkan pada bulan Januari dan April lepas.

Ketiga-tiga fasa STR melibatkan peruntukan pembayaran berjumlah RM5 bilion bagi tahun ini.

Pembayaran fasa keempat STR dijangka pada bulan November 2023.

Maklumat lanjut berkaitan pembayaran STR 3 ini boleh dilayari di Portal Rasmi STR https://bantuantunai.hasil.gov.my. – MalaysiaGazette