Steven Sim Chee Keong

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk memberikan rebat pelepasan cukai kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di dalam kategori B40 dan M40 bagi pembelian kenderaan bermotor buat masa ini.

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, cadangan tersebut perlu diperhalusi dan dikaji secara menyeluruh.

Menurutnya, daripada aspek pelepasan cukai pendapatan, OKU di bawah kategori B40 dan M40 layak menikmati rebat pelepasan cukai pendapatan sebanyak RM400 bagi pendapatan bercukai kurang daripada RM35,000.

“Selain itu, sebarang perbelanjaan membeli peralatan sokongan asas ke atas diri sendiri layak menuntut potongan cukai sehingga RM6,000 dan potongan cukai tambahan sebanyak RM6,000 sekiranya berdaftar dengan JKM sebagai seorang yang kurang upaya.

“Secara keseluruhannya, terdapat 21 item pelepasan cukai kepada golongan OKU bergantung kepada syarat-syarat dan kelayakan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Isaiah Jacob yang meminta menyatakan adakah kementerian berhasrat untuk memberikan rebat pelepasan cukai bagi pembelian kenderaan bermotor berjenama tempatan di bawah harga RM45,000 untuk golongan sasaran Orang Kurang Upaya berkategori B40 dan M40.

Mengulas lanjut, Steven Sim berkata, pada masa ini, kerajaan ada menyediakan pengecualian sepenuhnya ke atas duti eksais kenderaan untuk semua individu OKU dan cacat fizikal yang berkeupayaan memandu dengan syarat-syarat tertentu.

Ujarnya, golongan OKU yang berada dalam kategori B40 besar kemungkinan tidak dikenakan cukai setelah mengambil kira pelbagai pelepasan cukai dan rebat yang berkaitan.

“Justeru, layanan cukai sedia ada dilihat memadai bagi meringankan beban golongan OKU bagi kategori B40 dan M40.

“Walaubagaimanapun, kerajaan akan sentiasa mengkaji dan menambah baik dasar percukaian sedia ada dari semasa ke semasa seiring dengan persekitaran ekonomi,” tambahnya. – MalaysiaGazette