Zahari merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah hari ini.

JOHOR BAHRU – Masalah status tanah adat dalam kalangan Orang Asli di Johor diwartakan sebagai Tanah Kesultanan telah dibincangkan antara kerajaan negeri bersama wakil golongan penduduk asal berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, perkara itu telah pun dibincangkan secara meja bulat melibatkan pihak berkepentingan.

“Ia juga tidak dilakukan secara terbuka. Kita tidak mahu ada pihak tertentu cuba ambil kesempatan dan untuk memastikan tiada sebarang provokasi dilakukan pihak tidak bertanggungjawab berhubung isu berkenaan.

“Ya, ada perbincangan berlaku (berkenaan tanah adat masyarakat Orang Asli diwartakan Tanah Kesultanan) kerana memang mereka bertanyakan soal ini tetapi perbincangan itu diadakan dalam keadaan meja bulat bukan perbincangan terbuka.

“Sebarang perbincangan berkaitan Tanah Kesultanan ini perlu dibuat dengan teliti,” katanya selepas merasmikan program Johor Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Fest 2023 di Aeon Bukit Indah hari ini.

Bagaimanapun, Zahari berkata, kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan dengan masyarakat Orang Asli dan berharap ia dapat diselesaikan secara baik.

Zahari turut memberitahu, pihaknya telah meninjau projek pertanian yang dijalankan masyarakat Orang Asli di Kampung Sayong Pinang, Kota Tinggi di mana ia telah diwartakan sebagai Tanah Kesultanan.

Pada 8 Mei lalu, lebih 200 Orang Asli negeri ini berhimpun dan berarak secara aman di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri yang menempatkan Kompleks Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor bagi membantah cadangan menjadikan tanah adat Orang Asli sebagai Tanah Kesultanan.

Sementara itu dilaporkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mencadangkan agar tanah Orang Asli di negeri ini dikategorikan sebagai Tanah Kesultanan bertujuan memastikan tanah-tanah tersebut lebih terbela di bawah enakmen yang tersedia.- MalaysiaGazette