Nik Nazmi Nik Ahmad

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju untuk menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember ini melalui mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT).

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan yang dibuat pada 16 Jun lalu membolehkan hampir semua pengguna domestik dan pengguna bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang terbaharu ini.

Menurutnya, pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan pula akan menikmati penurunan kesan daripada pelarasan itu.

Kata beliau, bagi pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan pula akan menikmati penurunan.

“Ini ekoran purata harga bahan api menurun sedikit dari AS$224/metrik tan (Julai Disember 2022) kepada AS$173.50/metrik tan (Januari-Jun 2023).

“Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu USD79/metrik tan,” katanya pada sidang media di kementeriannya hari ini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi menambah, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

Jelas beliau, ia selaras hasrat kerajaan menerusi Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksana secara bersasar bermula Julai ini dan dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus).

“Namun satu peratus ini bukan golongan T20 tapi mereka yang menggunakan elektrik dengan penggunaan tinggi.

“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing,” katanya.

Nik Nazmi turut memberitahu, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) juga tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.

Ini bermakna kata beliau, perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.

“Kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj.

“Ini bermakna operator-operator air di bawah kerajaan negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember ini,” katanya.

Sementara itu, Nik Nazmi berkata, keputusan yang dibuat adalah selaras dengan usaha kerajaan bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna.

Menurutnya, pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) dalam kalangan industri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.

Jelas beliau, ini membolehkan pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28 peratus hingga 35 peratus sebulan.

“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai 2023, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.

“Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu 1 peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25 peratus),” katanya.

Pada masa sama, menurut Nik Nazmi, walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.

Tambahnya, pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

“Kerajaan berharap agar pemberian subsidi ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.

“Kementerian komited dengan perancangan peralihan tenaga kepada penggunaan tenaga yang mampan, sambil mengimbangi elemen sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga dan kelestarian alam sekitar,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Mana satu betul ni? Tajuk kata 5.2 juta. Artikel kata 5.2 bilion? Tuan editor cuti ker

Comments are closed.