Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) dan Abdul Rahman Mohamad (kiri) ketika pelancaran penyerahan projek siap dan pembukaan LTU Seksyen 5B dan sebahagian Seksyen 5A pada hari ini.

KUANTAN – Laluan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B yang menghubungkan Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap dan sebahagian  Persimpangan Krau, Raub disiapakan awal dua bulan dan boleh bermula operasinya jam 12.01 tengah malam ini.

Pastinya laluan ini mengembirakan jutaan pengguna kerana bukan sahaja menjimatkan masa perjalanan mereka bahkan ia dibuka lima hari sebelum Aidiladha tiba.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, laluan tersebut dapat memendekkan perjalanan dari Simpang Keruntung ke Simpang Krau dengan jarak perjalanan hanya 18.6 kilometer yang mengambil masa 15 minit sahaja.

“Laluan ini akan dibuka secara rasmi 25 Jun pada 12.01 tengah malam yang mana orang ramai boleh menggunakan lebuh raya ini.

“Laluan ini merupakan laluan ketiga yang telah dibuka di mana sebelum ini saya telah merasmikan pembukaan laluan Mentara ke Kampung Seberang Jelai, Lipis pada 26 Julai 2020 dan laluan Kampung Asap ke Kampung Sertik dan Bentong Bypass pada 7 Oktober 2021 yang lalu.

“Saya berharap agar pembinaan Lingkaran Tengah Utama untuk fasa-fasa yang lain dapat disiapkan dalam tempoh waktu yang ditetapkan yang secara langsung akan membantu pengguna memendekkan jarak dan masa perjalanan, mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di musim perayaan serta mengurangkan jumlah kemalangan,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Laluan jalan LTU dari Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap dan sebahagian Persimpangan Krau, Raub itu dirasmikan petang tadi bersama oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad. – MalaysiaGazette