Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengeluarkan arahan berkenaan pembekuan permohonan permit pindahan padi ke luar negeri berkuatkuasa 20 Jun 2023.

Ini merupakan satu langkah intervensi KPKM yang bersifat sementara untuk terus memastikan bekalan beras adalah sentiasa stabil di dalam pasaran negara.

Menurutnya, arahan ini hanya melibatkan permohonan permit pindahan padi oleh Pelesen Membeli Padi.

Manakala petani masih boleh menjual hasil padi mereka di mana-mana kilang termasuk kilang di negeri lain.

“Keputusan KPKM telah mengambil kira kepentingan dan hak petani. Petani hanya perlu memohon permit pindahan padi daripada Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Negeri berkenaan sekiranya ingin menjual padi ke kilang luar negeri.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat keperluan Pelesen Membeli Padi untuk menjual padi di luar negeri, mereka boleh membuat permohonan di Pejabat KPB Negeri untuk pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras.

Jelasnya, permohonan ini akan diteliti dan dipertimbangkan oleh KPKM mengikut kes.

KPKM juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak-pihak yang berkepentingan bagi memperjelaskan isu-isu yang berbangkit untuk memastikan bekalan beras tempatan sentiasa stabil di pasaran dengan harga yang dikawal sebagai pilihan beras yang murah kepada pengguna. – MalaysiaGazette