SELAYANG – Inspektor Sheila Sharon Steven mendakwa dia masih belum menerima sebarang surat gantung tugas setakat ini.
Sheila berkata, lebih menghairankan apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sendiri mengesahkan penggantungan itu sedangkan tiada notis berkenaan perkara itu dikeluarkan secara bertulis kepadanya.
“Belum terima lagi surat penggantungan
“Saya terkejut kenapa Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara keluarkan kenyataan sedangkan sehingga ke hari ini saya belum terima surat lagi.
“Perkara ini bertentangan, saya serahkan perkara ini kepada peguam saya,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Selayang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media Khamis lalu berkata, pegawai polis itu sudah digantung tugas dan arahan itu berkuat kuasa sehingga proses siasatan ke atasnya selesai.
Terdahulu, Sheila Sharon berdepan tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini termasuk dakwaan ugutan, memalukan atau menghina fizikal bentuk badan dan merendahkan jawatan anggota berpangkat rendah di Taman Sri Gombak, 15 Jun lalu. – MalaysiaGazette