Parang yang digunakan ahli Geng Stallone dirampas polis,

KUALA LUMPUR – Dua individu disyaki ahli kumpulan samun, Geng Stallone, ditahan semasa berada dalam keadaan khayal di sebuah rumah kosong di Taman Sentosa, Klang pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pada 15 Jun lalu, pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja hotel di Sungai Jarom mengenai insiden samun oleh dua lelaki bersenjatakan parang ketika sedang bekerja.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat dan cawangan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat serbuan di sebuah perumahan di Taman Sentosa, Klang Khamis lalu.

“Dalam serbuan yang dilakukan pada jam lebih kurang 2.30 petang itu, polis berjaya mencekup kedua-dua suspek kes samun pekerja hotel yang sedang disiasat itu di dalam sebuah rumah kosong dipercayai ‘port’ hisap dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, hasil pemeriksaan ke atas kedua-dua suspek di rumah itu membawa kepada rampasan dua telefon bimbit serta sebilah parang yang dipercayai digunakan dalam kejadian samun itu.

Menurut Ahmad Ridhwan, hasil semakan mendapati kedua-dua suspek yang berusia 28 dan 30 tahun itu mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Malah, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua mereka turut mengesahkan mereka positif dadah jenis Methamphetamine.

“Siasatan lanjut polis ke atas mereka mendedahkan bahawa kedua-dua suspek aktif melakukan jenayah samun sejak tiga bulan lalu,” ujarnya.

Ahmad Ridhwan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette