Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid

SUBANG – Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Bahagian Asia Pasifik menjadi platform latihan dan kerjasama meluas dalam memerangi isu jenayah rentas sempadan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, trend jenayah yang semakin kompleks memerlukan kerjasama agensi penguatkuasaan secara kolektif untuk memeranginya dengan berkesan.

Kerjasama meluas dalam latihan membawa kepada hasil  lebih baik dalam memerangi jenayah rentas sempadan dan jenayah canggih yang menjadi isu global.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memandang tinggi latihan itu sebagai medium untuk memajukan penyiasatan dan kemahiran pengurusan untuk memanfaatkan penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada secara lebih berkesan dalam membanteras jenayah.

“Justeru, sifat jenayah yang semakin kompleks mengubah landskap dan menjadikannya perlu untuk bersama-sama menyertai usaha semua pihak dalam memeranginya secara holistik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Persidangan FBINAA Bahagian Asia Pasifik ke-23 di Hotel Sunway Resort di sini hari ini yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Razarudin berkata,  program FBINAA adalah bahagian penting dalam menjalin kerjasama serantau yang lebih kukuh dalam kepolisan dan mempromosikan persahabatan dalam kalangan pegawai polis negara anggota.

“Program FBINAA juga penting dalam menjalinkan hubungan yang lebih baik setiap agensi penguatkuasa disamping menyediakan latihan penyiasatan berkaitan jenayah siber, hak sivil, jenayah terancang rentas sempadan, weapons of mass destruction dan jenayah kolar putih,” ujarnya.

FBINAA Asia Pasifik sejak ditubuhkan pada tahun 1984 kini dianggotai oleh 49 negara termasuk Malaysia. Sehingga kini, katanya FBINAA Malaysia mempunyai lapan pegawai PDRM yang aktif dan 57 pesara polis sebagai anggota.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Antarabangsa FBI, Raymond P Duda  menekankan kerjasama antarabangsa dalam kalangan agensi penguatkuasaan pelbagai negara adalah penting untuk mengekang jenayah rentas sempadan.

“Seperti yang anda ketahui, landskap ancaman global sentiasa berkembang yang mana jarak perjalanan dan teknologi mengaburkan garis antara ancaman antarabangsa dan domestik.

“Keselamatan negara dan cabaran jenayah yang dihadapi setiap negara juga semakin kompleks. Maka kita perlu terus mencari cara dan inovasi baharu untuk mendapatkan maklumat dan berkongsi maklumat,” tegasnya.- MalaysiaGazette