Tan Sri Dr Rais Yatim

KUALA LUMPUR – Bekas Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim mengajak rakyat di enam negeri yang terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) bersatu memperkasakan perjuangan demi bangsa, agama dan pertiwi.

Beliau, dalam status Facebooknya hari ini berkata, penyatuan bangsa itu perlu diterapkan menerusi PRN nanti bagi menyelamatkan negara, bangsa dan agama yang sedang tergugat oleh politik gila kuasa.

Selain itu, katanya, kehidupan rakyat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu, tidak bererti lagi dengan pentadbiran baharu yang gila slogan akibat kesilapan memilih.

“Bangsaku, sahabatku di seluruh negara khasnya di Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, masa sampai bagi kita semua berjabat tangan memperkasa semula perjuangan asas yang lama demi bangsa agama dan pertiwi.

“Negara, bangsa dan agama kita sedang tergugat dan digugat disisi politik gila kuasa, gila sandiwara, gila slogan yang tak bererti lagi kepada rakyat. Kita terpilih perdana menteri dan menteri sesat arah, sesat niat serta sesat perjuangan.

“Rupa-rupanya selepas tujuh bulan, terserlah pimpinan yang celaru sifat dan mengalami penyakit jiwa. Sifat celarunya ialah konon kita semua ini sama hak, sama rata, sama rasa tapi tak sama merana,” katanya dalam hantaran terbaharunya.

Menurut Rais, kerajaan sekarang tidak mempunyai dasar ekonomi apatah lagi peka dengan penderitaan rakyat selain tidak tahu mentadbir dan tidak sayangkan bangsa sendiri.

Mereka, katanya, suka cari kecelaan pemimpin dahulu yang banyak berbudi dan menyelamatkannya.

“Jika Tun M (Dr. Mahathir Mohamad) tidak melakukan ikhtiar dan gesaan, tiada pengampunan berlaku. Dia melupai ini semua. Dia tuduh perdana menteri dahulu konon rasuah, rasuah dan rasuah berbilion ringgit. Dia guna maklumat salah.

“Bila dia turun takhta perdana menteri nanti, saham dan habuannya pula akan menyusul,” katanya.

Kata beliau, barang makanan semakin mahal hingga tidak mampu dibeli oleh rakyat kerana ringgit menjadi kecil iaitu 1USD bersamaan RM4.76 manakala SGD1 pula RM3.65 dan £1 sudah hampir RM6.

Pelaburan turut menjunam nilainya dengan saham terus meluncur turun namun Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli suka bermain data dan formula tetapi tidak faham congak hidup nelayan, penoreh getah dan pesawit Felda.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula hilang perkiraan industri agro sehingga isu telor turut menjadi cemuhan tempatan dan dunia.

Beliau turut menempelak Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menunaikan janji untuk menurunkan harga minyak dengan mengulangi kenyataan perdana menteri itu, “hari ini jadi PM, esok harga minyak turun”.

Dalam hantaran itu juga, Dr. Rais menyindir tindakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melantik kalangan Ahli Parlimen sebagai pengerusi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Antara perlakuan berpolitik dan main politik kini sudah jelas. Kita sudah salah pilih juragan kapal lagi. Tokoh macam si pulut tapi bila ditanak ia berderai,” katanya menyindir. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Zaman dh berlalu.. tp kalu nk tengok bintang politik masih bersinar atau kelam try masuk bertanding mn2 kerusi dlm PRN N9 ni..Tengok camne.. mana lah tau ade rezeki jd MB. Kalu kalah silalah masuk gua utk bertapa atau kalah + hilang deposit sila lah bersara terus. Sekian.

  2. Waahhh!!!.. cTan Sri Rais tidak disambung, Yg DiPertua Negara..nampak marah sangat²??.. sudah²lah Tan Sri, jangan pula jadi “Batu Api” bila tidak sama² kerajaan sekarang..cakap didewan negara nampak berhemah tapi bila tidak dilantik semula.. kepala jadi haprak pula???.. zamanmu sudah berlalu beri ruang pada yg lain pula??…ramai lagi orang bijak pandai, terimalah hakikat dirimu sedang lalui proses penuaan??. jangan bikin malu Negara Malaysia.

Comments are closed.