MPKB-BRI pakaian sopan
Gambar pekerja wanita yang dikompaun seperti ditularkan pemilik akaun Facebook Sunny See Yeap Seng.

KUALA LUMPUR – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) kesal dengan tindakan seorang pemilik akaun Facebook membuat kenyataan mengelirukan berhubung kompaun yang dikenakan baru-baru ini terhadap pekerja wanita bukan Islam yang tidak berpakaian sopan.

Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, laman Facebook Sunny See Yeap Seng semalam memaparkan gambar individu memakai baju yang berbeza dengan yang dipakainya semasa dikompaun.

“Pihak MPKB-BRI amat kesal dengan kenyataan mengelirukan yang tidak berasas serta berterusan yang telah dibuat oleh pemegang akaun Facebook tersebut sehingga mengundang persepsi negatif masyarakat terhadap anggota penguatkuasa MPKB-BRI secara khusus dan MPKB-BRI selaku pihak berkuasa tempatan secara amnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau mengulas mengenai isu yang tular yang mana pemilik akaun Facebook tersebut mempersoalkan kompaun yang dikenakan terhadap wanita berkenaan kerana pakaian yang dikenakannya dianggap tidak mencolok mata.

MPKB-BRI
Pekerja wanita terbabit memakai baju lain semasa kompaun dikeluarkan. – Gambar: Facebook MPKB-BRI

Rosnazli memberitahu, tindakan kompaun itu adalah selaras dengan Seksyen 34(2)(b) Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019.

Beliau menambah, di bawah seksyen berkenaan, pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerjanya berpakaian sopan, bersih dan kemas sepanjang menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan atau perindustrian.

“Bagi yang bukan beragama Islam, pemegang lesen hendaklah memastikan dirinya dan pekerjanya yang bukan beragama Islam memakai pakaian sopan dan sekiranya pekerjanya beragama Islam hendaklah memakai pakaian menutup aurat,” jelasnya.

Rosnazli memberitahu, tindakan kompaun yang sama sentiasa dilaksanakan oleh penguat kuasa MPKB-BRI dari semasa ke semasa sebelum ini terhadap pekerja dan pemilik premis beragama Islam dan bukan beragama Islam.

“Tiada apa-apa provokasi dan manipulasi yang timbul oleh mana-mana pihak sepanjang proses pengeluaran kompaun dilakukan,” katanya. – MalaysiaGazette