Wan Saiful Wan Jan. Foto HAZROL ZAINAL, 22 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 21 Julai depan bagi keputusan permohonan mengetepikan dua pertuduhan rasuah berjumlah RM6.9 juta membabitkan projek Jana Wibawa oleh bekas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob memutuskan demikian selepas mendengar hujahan lisan oleh peguam mewakili Wan Saiful iaitu Amer Hamzah Arshad dan Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Murni Adzmi.

Terdahulu ketika prosiding, Amer telah berhujah pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya ‘cacat’ kerana tidak ada tarikh-tarikh khusus bagi kesalahan didakwa ke atasnya.

Bagaimanapun pendakwaan menolak alasan hujahan itu dengan memaklumkan Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu telah diberikan maklumat secukupnya berkaitan kesalahan didakwa ke atasnya.

Ketika ini, Wan Saiful sedang berdepan dakwaan meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuknya membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek ‘Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur’ daripada kerajaan Malaysia secara prakelayakan yang jumlah keseluruhannya RM232 juta.

Wan Saiful juga dituduh menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai sejumlah RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan Surat Setuju Terima bagi projek tersebut.

Kedua-dua perbuatan tersebut didakwa dilakukan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini, sekitar April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini antara 8 Julai dan 30 September 2022. -MalaysiaGazette