KUALA LUMPUR – DC Healthcare Holdings Berhad (DC Healthcare), penyedia perkhidmatan perubatan estetik dan pengkhususan dalam penyediaan prosedur tidak invasif dan invasif minimum menjangka tawaran awam permulaan (IPO) yang dilancar hari ini akan meraih RMRM49.81 juta.
Unjuran itu melalui terbitan 199.26 juta saham baharu pada harga IPO RM0.25 sesaham untuk membiayai rancangan pertumbuhan DC Healthcare serta modal kerja dan pembayaran balik pinjaman.
Pengarah Urusan DC Healthcare Dr Chong Tze Sheng berkata, hasil IPO itu akan digunakan untuk menubuh klinik perubatan estetik sebanyak RM9.44 juta, RM13.12 juta untuk membeli mesin dan peralatan perubatan, RM6.24 juta untuk membayar balik pinjaman, RM17.01 juta untuk modal kerja, termasuk gaji kakitangan serta bekalan perubatan dan bahan habis pakai dan RM4 juta untuk anggaran perbelanjaan penyenaraian
“Pelan pengembangan DC Healthcare adalah berdasarkan permintaan untuk perkhidmatan perubatan estetik kerana orang ramai semakin sedar tentang kesihatan kulit, serta ingin kelihatan dan berasa baik tentang diri mereka, terutamanya dalam jangka masa panjang.
“Perkhidmatan perubatan estetik dan perkhidmatan perubatan am yang berkaitan dengan penyakit kulit akan meningkat disebabkan oleh orang ramai yang mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk perbelanjaan mengikut budi bicara dan menjadi lebih berpendidikan tentang keadaan kulit,” katanya selepas pelancaran IPO DC Healthcare di sini hari ini.
DC Healthcare atau terkenal ‘Dr. Klinik Chong’ atau ‘Klinik Dr. Chong’ – menyediakan perkhidmatan estetik, perkhidmatan perubatan am dan penjualan produk penjagaan kulit.
DC Healthcare kini mempunyai 13 klinik dan 10 Pakar Perubatan Estetik Bertauliah LCP, dibantu oleh 29 doktor perubatan pemastautin di wilayah tengah dan selatan Semenanjung Malaysia iaitu di Negeri Sembilan, Selangor, Johor, dan Kuala Lumpur.
Dr Chong berkata, lapan klinik baharu akan dibuka dalam tempoh 18 bulan datang dengan utara dan selatan tanah air menjadi tumpuan.
Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022), kumpulan ini mencatatkan hasil sebanyak RM51.96 juta berbanding RM25.48 juta pada TK2021 dengan margin keuntungan bersih masing-masing sebanyak 18.40 peratus dan 18.06 peratus.
Perkhidmatan estetik menyumbang 89.96 peratus kepada jumlah hasil untuk TK2022 dan 84.88 peratus pada TK2021, berbanding perkhidmatan perubatan am yang menyumbang 10.04 peratus pada TK2022 dan 15.12 peratus pada TK2021.
Selain itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 (TK2020) dan 31 Disember 2019 (TK2019), DC Healthcare mencatatkan hasil masing-masing RM14.45 juta dan RM12.21 juta.
Perkhidmatan estetik menyumbang 89.80 peratus pada TK2019 dan 87.50 peratus pada TK2020 kepada jumlah hasil, manakala perkhidmatan perubatan am menyumbang 10.20 peratus pada TK2019 dan 12.50 peratus pada TK2020. – MalaysiaGazette















