GEORGE TOWN – Kerajaan negeri tidak akan memutuskan dan meluluskan apa-apa projek baharu namun tiada halangan bagi Kerajaan Persekutuan berbuat demikian untuk Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata demikian ketika mengulas  kenyataan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang mengingatkan kerajaan negeri sementara agar tidak mengumumkan sebarang keputusan atau projek besar menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Kon Yeow, hanya kerja-kerja pentadbiran yang akan dilakukan kerajaan negeri sementara tanpa membuat keputusan atau meluluskan projek baharu.

“Sebenarnya ini (tidak buat keputusan atau luluskan projek baharu) telah dibincangkan dalam sesi taklimat kerajaan negeri sementara.

“Namun apa yang diluluskan oleh Exco masih boleh diumumkan kerana ia bukan keputusan baharu. Sebagai contoh sekiranya projek yang memerlukan tanda tangan perjanjian terkini kita akan lakukan kerana ia sudah diputuskan sebelum ini.

“Bagaimanapun dijangka tak ada banyak perkara besar akan diumumkan,” katanya pada sidang media di Komtar hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow memberi ucapan perutusan khas sempena pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang berkuat kuasa esok bagi memberi laluan kepada PRN ke-15.

Tambah Kon Yeow, keputusan untuk tidak meluluskan projek baharu hanya tertakluk kepada kerajaan negeri sementara dan tiada halangan kepada Kerajaan Persekutuan datang ke Pulau Pinang untuk mengumumkan kelulusan projek persekutuan kerana pentadbiran kerajaan pusat berjalan seperti biasa.

“Menteri, timbalan menteri atau ketua setiausaha boleh datang buat pengumuman projek di mana-mana enam negeri yang dijangka mengadakan PRN pada Ogos depan, katanya. – MalaysiaGazette