Muhd Zainul Asri Mohd Romli

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Kedah, Muhd Zainul Asri Mohd Romli menafikan ucapannya pada Himpunan Kedah Berselawat Sabtu lalu ditujukan kepada individu mahu pun parti politik tertentu.

Malah, katanya, ucapannya yang menyebut ‘semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah’ adalah ditujukan kepada golongan seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran.

“Sesungguhnya saya tidak menyasarkan ucapan itu kepada mana-mana kumpulan dan tidak sebut mana-mana parti politik dan juga sesiapa sahaja.

“Yang dimaksudkan saya dalam ucapan itu adalah firman Allah yang bermaksud “Tidak akan meredai golongan Yahudi dan Nasrani sehingga lah kamu mengikut jejak langkah kehidupan mereka” (Surah al-Baqarah ayat 120),” katanya menerusi rakaman yang dimuat naik di laman Facebooknya hari ini.

Zainul Asri turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang tersinggung dan tersentuh berikutan ucapannya itu.

Katanya, tujuan ucapan itu adalah kerana Islam adalah agama yang konsisten  dengan akidah perjuangan serta menolak sebarang bentuk dakyah daripada musuh Islam.

“Mudah-mudahan pencerahan ini akan memberi seribu keharmonian kepada kita semua rakyat Islam di Malaysia. Bersama-sama kita bersatu untuk menjaga agama kita dengan sebaiknya,” ujarnya.

Semalam media melaporkan Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap Zainul Asri berikutan ucapannya ketika Himpunan Kedah Berselawat di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu.

Laporan polis berkenaan dibuat Ketua Biro Mobilisasi Pusat Media PH, Kapten (B) Muhammad Yahaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di ibu negara.

Ia dibuat susulan ucapan Zainul Asri yang menyebut semoga Allah mempertahankan Kedah daripada jatuh ke tangan musuh Allah.

Muhammad berkata, ungkapan berbaur propaganda berkenaan seolah-olah menggambarkan hanya Pas dan Perikatan Nasional (PN) sahaja bersama Allah manakala parti lain adalah musuh Allah.

Beliau turut mendakwa, ungkapan itu dibuat ketika negeri berkenaan sedang bersiap sedia bagi menghadapi pilihan raya negeri dan dilihat amat tidak sihat serta boleh menyemai perasaan benci dan ekstremisme kepada rakyat. – MalaysiaGazette