khairat BKM
Bangunan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) di Persiaran Rimba Permai, Cyber 8, Cyberjaya. foto arkib Malaysia Gazette

KUALA LUMPUR – Capaian e-Borang mulai Tahun Taksiran (TT) 2012 hingga TT 2015 bagi kategori individu, majikan, perkongsian, pertubuhan dan syarikat yang melebihi tempoh tujuhtahun akan ditamatkan mulai 1 Julai 2023, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Kemudahan e-Filing bagi tahun taksiran berkenaan tidak disediakan berikutan statistik penerimaan e-Borang bagi TT 2012 hingga TT 2015 melalui e-Filing yang menurun pada setiap tahun serta rujukan amalan terbaik agensi pentadbir cukai luar negara yang mana kebanyakannya hanya menyediakan sistem e-Filing bagi tempoh lima tahun taksiran sahaja.

Oleh yang demikian, pengemukaan Borang Nyata (BN) TT 2012 hingga TT 2015 selepas tarikh yang dinyatakan boleh dilakukan dengan menggunakan borang kertas.

Borang ini boleh dimuat turun melalui capaian melalui Portal Rasmi https://www.hasil.gov.my/ > Borang > Muat Turun Borang > Individu/Majikan/Selain Syarikat dan Selain Individu/Syarikat.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dikemukakan kepada:
a) Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
b) HASiL Live Chat; dan
c) Borang Maklum Balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/

– MalaysiaGazette