Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Kadar inflasi Malaysia pada bulan Mei 2023 terus mereda kepada 2.8% berbanding 3.3% pada bulan April 2023, mencatat penurunan sembilan bulan berturut-turut.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kadar inflasi Mei 2023 adalah kadar inflasi terendah dalam setahun, mencerminkan trend harga yang semakin stabil yang berterusan.

Menurutnya, penurunan inflasi bagi Mei 2023 juga menunjukkan kejatuhan menyeluruh merentas semua kategori perbelanjaan, menandakan penstabilan harga .

“adar inflasi yang stabil adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan agar ekonomi negara terus berkembang tanpa menyebabkan ermintaan yang mendadak sehingga menyebabkan harga barang dan
perkhidmatan (yang dilambangkan oleh kadar inflasi) tidak melonjak berterusan sehingga tidak terkawal.

“Penstabilan harga melalui penurunan inflasi yang menyeluruh dan berterusan adalah sebahagian dari strategi menyeluruh kerajaan menangani kos sara hidup rakyat agar tidak membebankan,” katanya dalam kenyatan di sini.

Strategi pertama ialah penstabilan harga agar tidak naik mendadak, selain dari instrumen dasar (melalui gabungan kawalan harga, dasar monetari dan skim-skim insentif berkaitan harga) dan penguatkuasaan, kerajaan juga menumpukan usaha untuk memastikan bekalan makanan digandakan untuk tempoh sederhana dan jangka panjang supaya seiring dengan permintaan
pasaran.

Tambahnya, dalam bulan Julai 2023, Kementerian Ekonomi akan mengumumkan projek-projek pertanian dan pemakanan yang melibatkan 1,000 ekar pertama di seluruh negara di bawah Inisiatif Usahawan Tani (INTAN) yang dikendalikan sebagai satu dari program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Projek-projek untuk 1,000 ekar pertama ini telah pun mengenal pasti rakan-rakan strategik dari kalangan agensi pertanian kerajaan dan agensi-agensi kerajaan negeri yang akan mengusahakannya.

“Kementerian Ekonomi juga akan membuka permohonan dari syarikat-syarikat pertanian swasta untuk menjadi rakan strategik di bawah INTAN untuk mengusahakan industri pertanian dan pemakanan di tanah-tanah kerajaan yang dikenal pasti di seluruh negara bagi keluasan tanah yang seterusnya. Maklumat lanjut mengenai usaha ini akan diumumkan dalam bulan Julai 2023.

“Usaha berterusan untuk menggandakan kapasiti industri pertanian dan pemakanan yang melibatkan sektor awam, swasta dan orang ramai dari kalangan B40 dan miskin tegar ini dijangka akan memastikan bekalan makanan yang mampan di masa akan datang,” ujarnya.

Strategi kedua kerajaan dalam menangani kos sara hidup ialah usaha-usaha untuk memastikan gaji dan pendapatan rakyat naik secara berkala setimpal dengan kenaikan kos sara hidup.

Fokus Kementerian Ekonomi ialah membangunkan kerangka Dasar Gaji Progresif bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk memastikan pertumbuhan gaji yang lebih sekata dan inklusif, seterusnya mendorong kepada gaji dan pendapatan yang lebih baik kepada semua pekerja terutamanya golongan muda.

Rafizi berkata, kertas dasar mengenai Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam bulan Ogos 2023 untuk mendapat panduan dari kepimpinan negara.

“Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara mana-mana pentadbiran mengusahakan satu kerangka dasar khusus mengenai pertumbuhan gaji yang sekata dan inklusif kepada semua pekerja. Fokus kepada
pertumbuhan gaji juga akan menjadi tema utama perancangan ekonomi negara di bawah Rancangan Malaysia yang akan datang.

“Dua strategi bersepadu ini dijangka akan membantu menangani kos sara hidup rakyat melalui penyelesaian kukuh yang berkekalan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette