PETALING JAYA – Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) beriltizam untuk mengetengahkan 50 peratus calon dalam kalangan wanita pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Bagaimanapun, parti berkenaan tidak mendedahkan jumlah kerusi yang bakal ditandingi.

Sebaliknya MUDA mendedahkan mengadakan jelajah ke enam negeri bagi mencari calon yang akan dipertandingkan tidak lama lagi.

Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, parti tersebut menggunakan strategi baru menjelang PRN kali ini dengan mendemokrasikan pemilihan calon dalam kalangan rakyat.

Katanya, MUDA akan membuka peluang permohonan untuk menjadi calon yang boleh dilakukan menerusi dalam talian, http://bit.ly/calonMUDA.

“Calon yg kita ketengah mesti bawa nama baik MUDA dan calon rakyat. Perkara utama adalah MUDA mendemokrasikan proses pemilihan calon supaya MUDA dapat ketengahkan calon-calon rakyat.

“Secara amnya calon parti akan datang dari kepimpinan tertinggi parti tapi kali ini MUDA guna strategi baru,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Ujar beliau, calon yang menjadi keutamaan MUDA adalah yang mempunyai kepelbagaian idea, latar belakang, profession dan diterima baik oleh penduduk setempat.

Terdahulu Syed Saddiq mengakui tidak mudah untuk meletakkan calon di lebih 200 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini.

“MUDA sebagai parti baru perlu ukur baju di badan sendiri kita kita tidak ada kemampuan kewangan untuk bertanding di semua kerusi DUN. Jadi MUDA guna strategi fokus pencarian dana dan menggunakan kekuatan untuk mencari calon.

“Berapa fokus untuk MUDA bertanding akan maklumkan kemudian,” katanya.-MalaysiaGazette