Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemeriksaan terhadap penunggang motosikal ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

PETALING JAYA – Lebih sembilan buah motosikal disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas didapati melakukan pelbagai jenis kesalahan.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, jumlah berkenaan hasil pemeriksaan terhadap 412 pacuan dua roda dalam Operasi Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2023 di Plaza Tol Petaling Jaya arah Damansara, di sini, setakat jam 10 malam tadi.

Katanya, sebanyak 264 notis saman juga dikenakan terdiri daripada kesalahan tidak memiliki lesen memandu (122), tiada cukai jalan atau tamat tempoh (95), kesalahan membabitkan nombor pendaftaran (27) kesalahan ubahsuai kenderaan (8) dan lain-lain kesalahan (12).

Anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat pemeriksaan lesen memandu penunggang motosikal ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

“Ops HRAA 2023 diadakan secara serentak di 13 buah kawasan di Selangor. Malam ini, kita menumpukan penunggang motosikal kerana berdasarkan rekod, kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain (melebihi 60 peratus).

“JPJ Selangor memberi komitmen tinggi mencapai sasaran mengurangkan kadar kematian dan kecederaan daripada kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50 peratus pada tahun ini,” katanya pada sidang media seusai menyertai Ops HRAA 2023 malam tadi.

Operasi yang dijalankan ini membabitkan kekuatan 60 anggota JPJ Selangor termasuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Lapan tangkapan dibuat AADK kerana dikesan menyalahgunakan dadah dan JAS mengeluarkan tujuh notis saman berkaitan kesalahan bunyi bising daripada ekzos kenderaan,” katanya.

Antara penunggang motosikal yang ditahan penguatkuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) setelah didapati positif dadah jenis Methamphetamine ketika Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

Difahamkan, ujian saringan air kencing terhadap lapan penunggang motosikal itu didapati positif dadah jenis Metamphetamine dan penahanan dibuat mengikut Seksyen 31 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Dalam pada itu, Khairul Khar berkata, objektif OPS HRAA yang dilaksanakan selama empat hari bermula bermula 27 hingga 28 Jun (sebelum) dan 1 hingga 2 Julai (selepas) perayaan Hari Raya Aidiladha ini adalah bagi memastikan kelancaran perjalanan pengguna jalan raya dengan lebih selamat.

“Ia juga bagi memastikan kelancaran dan kecekapan operasi perkhidmatan pengangkutan awam bagi meningkatkan keselamatan, kualiti perkhidmatan kepada pengguna; selain menguatkuasakan pematuhan peraturan terhadap sembilan kesalahan utama yang dianggap punca kemalangan.

“Antara aktiviti penguatkuasaan yang ditetapkan sepanjang OPS HRAA adalah rondaan lebuh raya dan kawasan hot spot termasuk black spot, mengadakan operasi motosikal di laluan penunggang motosikal dan penyamaran bas dan pemeriksaan bas di terminal utama pada 7 pagi hingga 11 malam,” katanya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya bercakap kepada media pada Operasi Hari Raya Aidiladha 2023 Peringkat Selangor di Plaza Tol Petaling Jaya Selatan, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 27 JUN 2023.

Bercakap mengenai hasil operasi penyamaran sebagai penumpang bas, katanya sebanyak empat notis dikeluarkan terhadap empat pemandu iaitu di Muar, Johor; Teluk Intan di Perak; dan Seremban di Negeri Sembilan.

Jelas beliau, kesemua mereka didapati melakukan kesalahan tatalaku, memandu di lorong kanan secara berterusan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu serta menurunkan penumpang di tempat yang tidak dibenarkan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairul Khar berkata, pada Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 lalu, JPJ Selangor telah mengeluarkan 5,289 notis saman dan sebanyak 2,161 dikeluarkan terhadap penunggang motosikal yang didapati mod pengangkutan tertinggi melakukan kesalahan.

Katanya, sepanjang tempoh pelaksanaan Ops HRA 2023 itu, sebanyak 188 buah motosikal antara yang disita JPJ Selangor daripada keseluruhan 210 kenderaan. -MalaysiaGazette