Masjid Al-Aqsa
Wisma Putra

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar mengenalpasti dan mengesahkan 134 daripada 2,714 mangsa sindiket jenayah penipuan sebuah syarikat di Filipina adalah rakyat Malaysia.

Usaha itu dilakukan Kedutaan Besar Malaysia di Manila selepas pihak berkuasa negara itu menyerbu sebuah syarikat dan menahan ramai pekerja.

Semua pekerja itu dipercayai diperdaya menjadi mangsa dalam sindiket penipuan tawaran pekerjaan, buruh paksa dan tahanan salah di Filipina.

“Kedutaan Besar Malaysia di Manila mengesahkan pihak berkuasa tempatan Filipina telah membuat serbuan ke atas syarikat Xinchuang Network Technology Inc.

“Dalam serbuan itu ramai yang telah diselamatkan dan mereka adalah mangsa sindiket jenayah tersebut yang terdiri daripada warganegara pelbagai negara termasuk Malaysia.

“Mangsa yang dipercayai warganegara Malaysia akan menjalani proses siasatan, dokumentasi dan deportasi ke Malaysia dalam masa terdekat,” kata Wisma Putra menerusi kenyataan media, hari ini.

Sebarang maklumat terkini berkaitan perkara itu akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. – MalaysiaGazette