Datuk Seri Mat Kasim Karim. Foto AFFAN FAUZI, 22 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR – Kehadiran dan rondaan kerap oleh Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan anggota trafik di lapangan antara tindakan yang telah dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) bagi melancarkan aliran trafik  di kawasan panas kesesakan bermula semalam hingga Ahad ini.

Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim ketika dihubungi berkata, tumpuan diberikan di kawasan yang sering berlaku kesesakan di sebelah Pantai Timur dan utara Semenanjung.

“Kesesakan aliran kenderaan dikenalpasti berpunca dari aliran keluar kenderaan yang tinggi sempena cuti sekolah hari ini dan sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

“Bagi memastikan trafik sentiasa lancar di kawasan-kawasan kesesakan itu, kita akan mempertingkatkan lagi elemen rondaan bermotosikal dan kehadiran anggota trafik untuk menyuraikan aliran trafik dan mengatasi kesesakan,” katanya hari ini.

Tambah beliau dalam perkembangan berkaitan, JSPT juga melaksanakan Ops Lancar yang telah dijalankan bermula 27 Jun 2023 dengan kekuatan seramai 4,700 pegawai dan anggota JSPT di seluruh negara.

Menurutnya, Ops Lancar berkenaan dikuatkuasakan semalam sehingga 2 Julai ini dengan membabitkan seramai 3,852 anggota dan 848 pegawai kanan polis.

“Kita juga mengenalpasti sebanyak 76 lokasi titik panas berlakunya kekerapan kemalangan antara Januari sehingga Mei 2023.

“Memandu melebihi had laju, tidak patuh lampu isyarat merah, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu antara kesalahan utama yang telah dikenalpasti sebagai faktor menyumbang kepada kemalangan yang berlaku di 76 kawasan titik panas yang dikenalpasti dan dipantau polis.

“Penguatkuasaan undang-undang dan kekerapan pemantauan polis di lokasi antara usaha jitu yang telah dikuatkuasakan polis dalam memastikan pengguna mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan,” katanya.

Pada masa yang sama Mat Kasim juga menasihatkan pengguna agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan ketika berada di atas jalan raya sepanjang musim perayaan.

Malah, pengguna yang memandu kenderaan di atas jalan raya disarankan agar memastikan sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain.

“Selain itu, aspek emosi turut perlu diberi perhatian dan sentiasa merancang perjalanan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

“Yang paling penting sebelum bergerak dari rumah anda sila pastikan kenderaan dipandu berada dalam keadaan baik.

“Kenderaan anda perlu diselenggara secara berkala bagi memastikan ia berada pada tahap terbaik dan selamat untuk perjalanan ke destinasi anda,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette