Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Arthur Joseph Kurup bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional dan Mesyuarat Khas Ahli Parlimen Barisan Nasional di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Keputusan terbaharu Mahkamah Rayuan The Hague  membuktikan tuntutan kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu adalah tidak berasas dan berniat jahat.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, keputusan berkenaan selari dengan ketetapan Mahkamah Rayuan Perancis sebelum ini.

Sehubungan itu katanya, PBRS merakam ucapan penghargaan kepada Kerajaan Perpaduan terhadap kemenangan yang berpihak kepada Malaysia.

“PBRS merakam setinggi-tinggi tahniah kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua pihak yang terlibat terutamanya  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi dan Digital Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil; Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Peguam Negara Tan Sri Idrus bin Harun dan Kerajaan Sabah di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji bin Haji Noor yang berjuang bagi memastikan kemenangan ini,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, meskipun tidak mudah namun kerjasama semua pihak menunjukkan hasil positif menerusi keputusan berkenaan.

 “Keputusan-keputusan mahkamah ini merupakan titik tolak perjuangan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah dalam kita menoktahkan segala usaha tuntutan tidak berasas kumpulan yang mendakwa waris Sulu,” tambah beliau.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan The Hague menolak permohonan kumpulan Sulu untuk mendapatkan pengiktirafan dan penguatkuasaan tuntutan anugerah sebanyak AS$14.9 bilion (RM62.59 bilion) terhadap Malaysia, yang dikatakan melalui proses timbang tara pada Februari tahun lalu.

Semalam Anwar berkata, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast