Gambar hiasan

ALOR SETAR – Bahang pilihan raya semakin dirasai di enam negeri dengan pelbagai aktiviti parti dan perbahasan isu politik mewarnai hujung minggu lalu.

Tatkala kempen mengumpul dana DAP di Petaling Jaya, Selangor mencetuskan polemik kerana kenyataan bekas Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua yang dikatakan tidak menghormati UMNO, parti itu terus mengadakan rapat umum untuk mendapatkan derma.

Di Alor Setar, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming dalam satu majlis mengumpul dana meminta pengundi  keturunan Cina untuk keluar mengundi bagi memberi sokongan kepada Kerajaan Perpaduan.

“Walaupun jika perlu merangkak, anda masih perlu keluar mengundi demi generasi akan datang.

“Ini bagi memberi peluang kepada Perdana Menteri untuk mentadbir selama sekurang-kurangnya 10 tahun kerana reformasi dan pembangunan adakah memerlukan masa,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Menurut Kor Ming, kemampuan Kerajaan Perpaduan memenangi Kedah sambil mempertahankan Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan tidak lain seperti kejayaan mendukung kesederhanaan, pembangunan dan kerajaan yang terbuka.

“Kami perlu menyampaikan satu mesej penting kepada dunia iaitu orang Malaysia tidak mahu kerajaan yang mengamalkan perkauman dan keagamaan ekstrem,” katanya.

Namun begitu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sekurang-kurangnya 10 tahun diperlukan oleh kerajaan negeri untuk menjayakan Greater Kedah dan mengangkat Kedah menjadi sebuah negeri yang berdaya maju.

Muhammad Sanusi berkata dalam Himpunan Kedah Berselawat Berbusana bahawa kerajaan Negeri Kedah yang diterajui PN perlu dipertahankan bagi meneruskan program yang direncanakan.

Lebih 10,000 orang dilaporkan menghadiri himpunan yang diadakan di Stadium Darul Aman itu.

Di Selangor, PH telah melancarkan jentera pilihan raya dalam satu program bertemakan Arus Merah Kuning di Shah Alam.

Di Kelantan pula, PN negeri telah melancarkan jentera pilihan raya di Kota Bharu.

Di Pulau Pinang,  Pengarah Pilihan Raya DAP Pulau Pinang, Wong Hon Wai memberitahu Kwong Wah Yit Poh,  partinya akan mengadakan satu program besar-besaran pada Julai sebagai “pembuka” untuk menghangatkan kempen parti tersebut.

Mengulas tentang cabaran “Gelombang Hijau” di Pulau Pinang, Naib Pengerusi DAP, Chow Kon Yeow mengakui parti itu akan menerima impak, tetapi yakin Kerajaan Perpaduan masih dapat menang dengan selesa di Pulau Pinang.

“Tidak dinafikan bahawa PN berjaya menawan tiga kerusi Parlimen sebelum ini dan ini menandakan mereka juga boleh menang di kerusi negeri tertentu.

“Tetapi semasa pilihan raya umum ada tiga pakatan iaitu PH, PN dan BN. Keadaan itu banyak berbeza dengan sekarang kerana BN akan berganding dengan PH untuk menentang PN,” katanya dipetik Kwong Wah Yit Poh semasa menghadiri satu program kejiranan di Pulau Pinang. – MalaysiaGazette