Petugas Trafik motosikal berkuasa tinggi dari Team Black Mamba terlibat dalam tugas pemantauan dan penyuraian aliran trafik sesak di lebuh raya utama yang mengalami kesesakan luar biasa semasa musim perayaan sejak semalam.Ihsan JSPT Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Team Black Mamba yang diilhamkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasa Trafik (JSPT) kini tertumpu sepenuhnya kepada usaha untuk menjamin kelancaran trafik sempena cuti Hari Raya Aidiladha di lebuh raya seluruh negara.

Ia selari dengan fokus Polis Diraja Malaysia yang giat menjalankan OP Lancar untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di laluan utama di seluruh negara menerusi proses penyuraian aliran trafik.

Pengarah JSPT, Datuk Seri Mat Kasim Karim berkata, Team Black Mamba sebenarnya adalah penjenamaan semula Team Task Force JSPT yang terdiri daripada pegawai dan anggota dari Unit Risikan/Operasi atau dikenali sebagai Skuad 42.

“Ia adalah satu unit yang dilatih khas dan mempunyai kemahiran dalam menjalankan banyak tugas melibatkan  pelbagai elemen dalam JSPT di lapangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Mat Karim, anggota Team Black Mamba akan melakukan tugas penguatkuasaan dan pemantauan di lokasi-lokasi kerap berlaku kesesakan teruk.

Katanya, aset-aset melibatkan motosikal berkuasa tinggi antara yang digunakan pasukan Team Black Mamba dalam menjalankan tanggungjawab mengawal kesesakan dan aliran kenderaan terutamanya lebuh raya di seluruh negara.

“Team Black Mamba sebenarnya terdiri daripada seramai dua pegawai kanan dan 22 anggota dengan menggunakan aset motosikal berkuasa tinggi untuk rondaan dan tindakan di lapangan.

“Antara tugas mereka adalah menjalankan risikan tentang segala elemen yang melibatkan jenayah trafik, menjalankan operasi terancang, menjalankan tugas-tugas mengiring, membuat pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan di atas jalan raya,” ujar beliau.

Tegasnya lagi, pihak JSPT Bukit Aman sentiasa bersiap siaga dalam membantu melancarkan aliran trafik di seluruh negara sekali gus memastikan perjalanan para pengguna jalan raya selamat dan terjamin.

“Pada masa yang sama, para pengguna jalan raya adalah diingatkan supaya sentiasa menitikberat aspek keselamatan diri dan pengguna lain dalam usaha mengelak berlakunya kemalangan.

“Selain itu, sila mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan pihak berkuasa demi keselamatan diri, keluarga serta pengguna lain.

“Penguatkuasaan dan kekerapan pemantauan akan sentiasa dilakukan sepanjang musim perayaan ini dalam usaha memastikan pengguna sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan dan menangani sebarang insiden nahas atas jalan,” katanya.-MalaysiaGazette