Kementerian Pendidikan Tinggi Bajet 2024 universiti mahasiswa
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Cakna dan Dialog Malaysia Madani di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2023.

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pelik dengan sikap segelintir pihak yang mempersoalkan kehadirannya bertemu pelajar di universiti sejak kebelakangan ini.

Anwar berkata, siri pertemuan itu hanya dilakukan pada hujung minggu dan beliau masih bekerja seperti biasa di pejabat dari Isnin hingga Jumaat.

Beliau tidak menolak kemungkinan ada yang cemburu dengan usahanya itu kerana pertemuan dengan pelajar itu telah mendapat sambutan menggalakkan.

“Ada orang kata saya pergi ke universiti bersyarah, saya pergi hanya Sabtu dan Ahad. Hari biasa Isnin sampai Jumaat saya berada di pejabat.

“Mereka tidak faham sampai macam itu, mereka cemburu tengok anak-anak muda ini beri sokongan. Jadi mereka kata Anwar tidak boleh masuk universiti.

“Ini apa punya negara, perdana menteri tidak boleh masuk universiti supaya mereka boleh guna universiti cerita benda-benda fitnah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Qurban Perdana Madani di Kawasan Perniagaan Arowana Permatang Pauh, Seberang Perai Utara di sini, hari ini.

Sejak Mac lalu, beliau menganjur Program Temu Anwar di universiti antaranya di Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sabah dan Universiti Malaysia Kelantan.

Beliau juga pernah menghadiri Program Cakna Madani bersama pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Se-Malaysia dan Dialog Anak Muda Temu Anwar.

Sebelum ini,  Seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional menggesa Anwar supaya menumpukan sepenuh perhatian ke arah menangani kesusahan rakyat dan ekonomi negara daripada membuat lawatan ke kampus untuk bertemu pelajar.

Ahli Parlimen Besut dari Pas, Che Mohamad Zulkifly Jusoh berkata, sesi perjumpaan Anwar dengan pelajar universiti boleh dilihat sebagai program kempen politik secara terbuka di universiti, yang bertujuan untuk mempengaruhi undi anak muda menjelang pilihan raya negeri tidak lama lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast