Datuk Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah memulakan siasatan berhubung laporan sebuah portal mendakwa seorang menteri terlibat dalam kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) membabitkan anggota pasukan itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh yang akan merangkumi pelbagai aspek.

“JIM merujuk kepada laporan berita yang diterbitkan oleh sebuah portal berita atas talian bertajuk ‘EKSKLUSIF: Menteri buat kecoh di KLIA tuntut pelawat China ditahan imigresen dibebaskan’ yang diterbitkan pada 29 Jun 2023 yang kemudiannya berita tersebut telah dipetik oleh beberapa agensi media yang lain.

“Jabatan ini telah mengambil tindakan serta-merta memulakan siasatan ke atas dakwaan kejadian yang dilaporkan dalam berita tersebut,” kata Ruslin dalam kenyataan.

Serentak itu Ruslin memohon supaya orang ramai memberikan ruang kepada JIM agar siasatan dapat dijalankan dengan telus.

Beliau turut menggesa supaya tidak ada sebarang spekulasi atau provokasi dilakukan terhadap dakwaan berkenaan yang boleh mengganggu siasatan.

Sebuah portal berita mendakwa, seorang menteri didakwa menceroboh masuk ke dewan ketibaan antarabangsa KLIA bagi membebaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

Dalam kejadin itu, menteri terbabit didakwa masuk ke dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Laporan itu mendakwa menteri tersebut bertindak sedemikian bagi ‘menyelamatkan’ seorang wanita warga China yang tidak dibenarkan memasuki negara ini sebaik tiba di lapangan terbang berkenaan.

Menteri berkenaan ke KLIA apabila mendapat tahu mengenai kejadian itu dan memasuki ke dalam dewan ketibaan tanpa memohon pas keselamatan.

Menurut laporan yang memetik sumber berkata, apabila tindakannya cuba dihalang, beliau menggunakan kuasa sebagai menteri termasuk memarahi Polis Bantuan KLIA dan pegawai imigresen.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Menteri buat kecoh di KLIA, didakwa cuba selamatkan pelancong China?