Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto MUHD NA’IM, 01 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Isu matlamat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) selepas memutuskan bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dibangkitkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim dijawab Syed Saddiq Syed Abd Rahman.

Presiden MUDA itu mencabar Pemuda PKR itu menyatakan pendirian terhadap janji-janji pembaharuan dan reformasi yang dilaungkan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

“Apabila kita menyertai PRN ini, kita nakkan mesej politik baharu. Dia (Adam) patut jawab apa pandangan PKR berkenaan reform, kenapa tiba-tiba tangguhkan kes-kes rasuah besar?

“Apa pendirian mereka berkenaan soal pardoning? Sebelum ini lantang. Apa pendirian mereka berkenaan soal kapal tempur pesisir (LCS)? Sebelum ini kata selepas PRU terus akan tangkap jerung-jerung dan penjarakan.

“Apa pendirian mereka berkenaan soal pengisytiharan aset? Apa pendirian mereka tentang isu-isu yang dijanjikan yang boleh dibuat? Pecahkan monopoli? Monopoli dipanjangkan! Harga barang naik, kita punya matawang di kadar paling lemah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di KL Wellness City Gallery hari ini.

Beliau berkata, Adam Adli perlu berbuat demikian dan bukan mengalih pandangan rakyat dengan mempersoal sokongan MUDA kepada Kerajaan Perpaduan.

“Daripada mereka main politik, lebih baik hadap rakyat dan bawa politik baharu. Saya hormat pandangan dia tapi MUDA nak fokus berlawan dan berbahas menggunakan idea serta politik baharu pada PRN kali ini,” katanya.

Pada Rabu 28 Jun lalu, Adam Adli menggesa MUDA untuk menyuarakan pendirian sama ada masih berada di blok kerajaan atau tidak dan menjelaskan matlamatnya selepas memutuskan untuk bergerak solo pada PRN di enam negeri akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Saddiq berkata, PRN akan datang bakal menjadi medan untuk MUDA dan rakyat menghantar wake-up call yang jelas jika reformasi tidak dilaksanakan, janji dilupakan dan ekonomi tidak dipulih. – MalaysiaGazette