Hussein Omar Khan

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan telah menerima satu laporan berhubung Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing yang didakwa ‘menceroboh’ Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan itu  diterima daripada orang awam.

“Laporan polis itu dibuat sebagai meminta siasatan dijalankan ke atas dakwaan seorang menteri telah didakwa menceroboh masuk di KLIA.

“Tindakan sedang diambil oleh polis dalam kes tersebut dan kami belum mengklasifikasikan kertas siasatan yang akan dibuka nanti,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Terdahulu, dalam kejadian semalam, Ahli Parlimen Bintulu itu telah didakwa menceroboh tanpa memohon pas keselamatan dan cuba menyelamatkan seorang wanita warga China daripada tahanan Imigresen di KLIA.

Bagaimanapun, beliau menafikan dakwaan itu sambil menjelaskan kehadirannya untuk menangani budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang pihak Imigresen di pintu masuk negara utama negara.

King Sing mengakui dirinya dalam gambar tular di media sosial dan mendakwa telah menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA pada hari kejadian.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya mengambil tindakan serta-merta dengan memulakan siasatan ke atas laporan itu.

Dalam kenyataan pagi hari ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki juga mengesahkan pihaknya akan memulakan siasatan menyeluruh berhubung insiden itu.- MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Perbuatan menceroboh kawasaan larangan tersebut adalah suatu kesalahan yang amat serius dan menyalahi undang2. Tanpa mengira siapa samada menteri atau pun orang awam sabit kesalahan mereka wajib dipenjarakan!

    Hormati dan patuhi undang2 negara!

  2. Diharap pihak polis, Dato Ayob dapat dengan segera menangkap dan mendakwa PENCEROBOH tersebut!!!

    Rakyat teramai bersama2 pihak polis. Ayuh segera tangkap dan dakwa!

Comments are closed.