Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan keluar hospital.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan keluar hospital.

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sudah dibenarkan keluar hospital, kata anaknya, Yusuf Abdul Hadi.

Katanya, tahap kesihatan Ahli Parlimen Marang itu semakin baik.

“Alhamdulillah kesihatan ayahanda bertambah baik dan dibenarkan untuk keluar dari hospital pada hari ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada seluruh warga HSNZ yang memberikan khidmat terbaik dan kepada seluruh rakyat Malaysia yang mendoakan kesihatan ayahanda Tuan Guru,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata Abdul Hadi semakin stabil dan sudah dipindahkan ke wad biasa berbanding Unit Rawatan Koronari (CCU) sebelum ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, beberapa program membabitkan Abdul Hadi terpaksa ditangguhkan sementara kerana keadaan kesihatannya yang merosot sebelum Aidiladha lalu.

Program terakhir dihadiri beliau ialah merasmikan jentera Pilihan Raya Dewan Pemuda (DPP) Pas negeri yang diadakan di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang, Rabu lalu.

Difahamkan pada program itu, Abdul Hadi sudah kelihatan uzur walaupun sempat berucap merasmikan pelancaran jentera pilihan raya DPP negeri.

Sebelum itu, anak sulung Abdul Hadi, Muhammad Khalil melalui laman Facebook memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital pada hari Khamis.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional, pernah dimasukkan ke Hospital Putrajaya dipercayai akibat sesak nafas pada Februari lalu sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara untuk rawatan lanjut. – MalaysiaGazette