Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka tiba di KLIA hari ini. foto FB Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kesudian menerima 31,000 jemaah dari Malaysia dan kemudiannya tambahan seramai 1,000 jemaah, untuk mengerjakan haji tahun ini.

Ucapan itu dizahirkan dalam pertemuan baginda dengan Putera Mahkota Aab Saudi, Puttera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud.

Baginda turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Arab Saudi kerana menaja 300 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian mereka di pelbagai tahap dan bidang pengajian di sana.

Dalam hantaran di Facebook Istana Negara dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berangkat pulang ke tanah air dari Arab Saudi hari ini, selepas selesai menunaikan ibadah haji.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah kira-kira pada jam 8 malam waktu tempatan disambut oleh Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah Al Jalawi.

Hadir sama, Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi Tuan Yang Terutama Datuk Wan Zaidi Wan Abdullah.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dijangka tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang hari ini.

Dalam pertemuan itu, baginda telah berkenan mempersilakan Yang Amat Mulia Putera Mohammed untuk berangkat mengadakan kunjungan ke Malaysia.

“Seri Paduka Baginda mendoakan agar seluruh Jemaah Haji Malaysia dikurniakan keafiatan sepanjang berada di Tanah Suci dan selamat pulang ke tanahair kepada pangkuan keluarga tercinta. Seri Paduka Baginda mengajak seluruh Jemaah Haji Malaysia untuk terus bermunajat, memohon keampunan serta mendoakan keselamatan dan kesejahteraan negara tercinta,” menurut hantaran Istana Negara. – MalaysiaGazette