KUALA LUMPUR – Gelombang hijau melibatkan pengundi muda yang memihak kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu dilihat tidak lagi akan berlaku buat kali kedua di Kedah.
Menurut Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, momokan bahawa gabungan itu akan terus menguasai negeri Jelapang Pagi itu disifatkan tidak mungkin berlaku faktor perbentukan Kerajaan Perpaduan.
“Apa yang berlaku pada November 2022 (dalam PRU15) lalu waktu itu suasananya sangat berbeza dengan tujuh bulan kemudian, sebab pada waktu itu kerajaan tidak ditubuhkan di Putrajaya.
“Semua orang (parti politik) berkejar untuk menubuhkan kerajaan di Putrajaya, tapi sekarang kita dah tubuhkan kerajaan di Putrajaya, Kerajaan BN, Pakatan Harapan (PH) dah ada di Putrajaya,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pengarah Pilihan raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini, yang mendakwa PH tidak mendapat sokongan anak muda sebaliknya sokongan golongan itu kini telah beralih kepada PN.
Jelas Mahdzir lagi, pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kini telah membuka mata rakyat termasuk golongan muda yang mana mereka boleh mengubah keputusan memilih pada PRU lalu dalam PRN kali ini.
“Saya kira momok-momok ini memang biasa bila dekat PRN ini, macam-macam persepsi akan dibangkitkan, semuanya (memihak kepada) PN,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mahdzir turut menolak dakwaan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengadakan program bertemu dengan pelajar universiti hanya untuk menarik sokongan golongan muda.
Jelas beliau, sebagai Perdana Menteri, Anwar mempunyai tugas dan tanggungjawab yang lebih besar iaitu menjelaskan mengenai polisi, dasar kerajaan serta pembinaan negara dan bukan hanya ingin menarik sokongan semata-mata.
“Perdana Menteri turun universiti untuk menjelaskan dasar yang dibuat dalam Kerajaan Perpaduan, Kerajaan Madani, jadi saya ingat bukan makna turun untuk dapat sokongan (kepada PH).
“(Tanggungjawab) Perdana Menteri lebih daripada itu, dia (Muhammad Sanusi) tak boleh bandingkan antara PM dengan seorang yang nak dapatkan pengaruh sebab dia melebihi semua perkara, dia nak cakap tentang polisi dan arah panduan negara ini, tanggungjawab dan bagaimana nak membina negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















