Dr. Fathir Badri Alhadad

KUALA LUMPUR – Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) memandang serius laporan media yang menyatakan Menteri Pelancongan
Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing telah memasuki kawasan larangan di Terminal 1 KLIA tanpa mendapatkan pas keselamatan bagi membantu pelancong dari China yang ditahan oleh pihak imigresen.

SAFTTA berkata, pihaknya sependapat dengan menteri dan percaya laporan akhbar berkenaan pasti datangnya dari pihak imigresen memandangkan laporannya terarah kepada kesalahan yang dikatakan dilakukan oleh King Sing.

Apatah lagi, pada hari kejadian, menteri memasuki kawasan tersebut dengan diiringi oleh pihak keselamatan KLIA dan pegawai dari MOTAC.

“Jadi apa sebenarnya yang ditakutkan oleh imigresen di KLIA tersebut?,” soal Presiden SAFTTA, Fathir Badri Alhadad dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, kerajaan telah membelanjakan berjuta ringgit bagi tujuan promosi pelancongan di seluruh pelosok dunia bagi menarik pelancong datang ke Malaysia.

Disebabkan itulah Menteri MOTAC begitu kritikal terhadap pegawai imigresen kebelakangan ini.

“Mana tidaknya kita berusaha untuk menarik pelancong datang, pihak imigresen pula seakan tidak memberi kerjasama apabila mereka tiba dipintu masuk kita. Bayangkan mereka perlu beratur sehingga dua jam sebelum mendapat pelepasan imigresen hanya disebabkan banyak kaunter imigresen yang tutup.

“Kami di SAFTTA sering mendengar keluhan dari ahli kami bila mana pihak imigresen tidak membenarkan kumpulan pelancong mereka untuk masuk ke Malaysia disebabkan Notis Tolak Kemasukan (NTL) sedangkan mereka telah memperolehi visa terlebih dahulu sebelum memasuki negara,” dakwa beliau.

Tambahnya, sebelum ini ramai pelancong dari India telah beralih ke Thailand disebabkan pihak imigresen memberikan NTL kepada mereka, kini pelancong dari China pula.

Fathir meminta imigresen jangan cuba mensabotaj ekonomi negara kerana pelancongan mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi dengan cepat.

“Apa yang kami lihat pihak imigresen di KLIA ini seakan kebal kerana sebelum ini mereka melenting apabila ditegur oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), kini apabila ada menteri yang lantang terhadap mereka, mereka seolah cuba untuk menjatuhkan imej menteri berkenaan.

“Adakah mereka ini kartel di KLIA tu? Sudah tiba masanya kesemua team imigresen di KLIA ditukar bagi menagkis imej kartel berkenaan. Diharapkan Ketua Pengarah Imigresen
yang baru ini lebih proaktif dengan dapat mengambil tindakan segera dan tidak hanya menunggu hingga siasatan selesai,” katanya.

Mengulas isu rasuah, SAFTTA menyerahkannya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk melakukan siasatan segera kerana isu ini membabitkan pegawai imigresen di KLIA ini bukanlah isu baharu dan terpencil malah ianya adalah ‘an open secret’.

“Tanpa menjejaskan keselamatan negara, kami berharap pihak imigresen dapat memainkan peranan mereka apabila menerima pelancong dikesemua pintu masuk negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Apsal Menteri Pelancongan plak? Imigresen di bawah Menteri KDN? Ker Menteri KDN tidor? Kalau mcm tu semua menteri boleh langgar peraturan keselamatan sesuka hati? Kalau ada rasuah, boleh lapor kepada SPRM bodoh bukan Menteri yg jd pegawai SPRM atau tuduh org sembrono! Sah2 Menteri langgar undang2 halang penjawat awam dari menjalankan tugas…dah mcm undang2 rimba semata2 sebab nak back up imigran China masuk ke Malaysia

Comments are closed.