Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing digesa mengemukakan bukti dakwaannya mengenai gejala rasuah melibatkan pihak berkuasa terhadap seorang pelancong wanita warga China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sebagai rakyat, Kak Mai, 60, yang berasal dari Kajang berpendirian menteri yang baik dan bertanggungjawab tidak hanya melontarkan dakwaan tanpa pengesahan sekali gus mencemarkan imej penjawat awam di negara ini.

Kak Mai

“Menteri yang buat kecoh tu pun tidak boleh ganggu penjawat awam, penjawat awam kena ikut tugas yang diamanahkan kepadanya.

“Kena tunjuk contoh yang baik. Isu-isu begini, kalau betul berlaku dia kena tunjuk bukti kalau hanya cakap semua orang boleh cakap, jangan hanya menuduh. Buatlah laporan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ujarnya, jika benar mempunyai bukti yang sahih menteri tersebut perlu menggunakan saluran yang betul supaya tindakan tegas dapat diambil.   

Dalam masa yang sama Kak Mai kata, menteri dan pihak berkuasa yang dimaksudkan perlu mengambil langkah selaras dengan maklumat, bukan hanya berdasarkan dakwaan semata-mata.

“Menteri itu perlu ikut prosedur memanglah dia ada kuasa tapi dia kena jujur ikut saluran tidak boleh terjah begitu, agak biadap.

“Menteri yang bertanggungjawab di bawah badan berkuasa yang dimaksudkan kena tegas tidak boleh hanya ikut apa ahli politik lain cakap. Kena bertindak selaras dengan memberi keyakinan kepada kerajaan, tidak mahulah bila dekat pilihan raya negeri banyak isu timbul,” tambah beliau,

Ridzuan IsmailPandangan sama turut dikemukakan oleh Ridzuan Ismail,37, yang berpendapat maklumat dan bukti perlu dikumpul terlebih dahulu sebelum suatu tindakan diambil.

Jelas beliau langkah berkenaan perlu diadaptasikan dalam pelbagai isu berkaitan penjawat awam.

“Pihak berkuasa yang sepatutnya siasat kena buat pemantauan sama ada betul terjadi seperti yang didakwa. Kita pun tidak tahu hujung pangkal, jadi kena siasat, kaji.

“Sebelum buat tindakan kena kumpul maklumat, tidak bolehlah ambil tindakan sesuka hati,” katanya.

Ridzuan yakin, tidak semua penjawat awam terpalit dengan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.

“Kalau betul ada yang buat segelintirlah, tidak mungkin semua dan ada yang tidak bertanggungjawab. Kalau ada kena ada tindakan tegas,” beliau berkata.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar King Sing yang dikatakan menceroboh masuk ke ruang ketibaan antarabangsa tanpa memiliki pas keselamatan.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing itu memberitahu, beliau berada di KLIA selepas insiden seorang wanita warga China dinafikan kemasukan ke negara ini.

Beliau turut mendakwa wujudnya budaya rasuah dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

Mohd Hassan

Sementara itu, Mohd Hassan, 60, pula mahu dakwaan menteri itu disiasat segera kerana ia melibatkan badan penguatkuasaan negara ini.

Langkah ini penting supaya dakwaan-dakwaan negatif ini dapat dihapuskan dan tidak berulang lagi pada masa depan.

Mohd Hassan berkata, dakwaan kepada penjawat awam ini akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada mereka. – MalaysiaGazette