KUALA LUMPUR – Pemandu sebuah van yang memandu secara lawan arus sehingga melanggar lima kereta di Jalan Besar Ampang seperti yang tular dalam sebuah video semalam sudah menyerah diri di Balai Polis Ampang Jaya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku pada 12.14 tengah hari berpunca pemandu tersebut yang cuba melarikan diri daripada sebuah kenderaan yang telah dilanggarnya di Jalan Ampang.

“Semasa sampai di tempat kemalangan van yang dipandu secara melawan arus telah melanggar empat buah kereta yang berada di kiri dan kanan jalan dan terus melarikan diri melalui jalan belakang bangunan kedai Pekan Ampang,” katanya menerusi kenyataan.

Jelas beliau, kelima-lima kenderaan mengalami kerosakan namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Mengulas lanjut Mohd Azam berkata, pemandu van yang merupakan lelaki berusia 40 tahun tersebut ditangkap selepas menyerah diri.

Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati suspek negatif dadah.

Namun dalam masa yang sama Mohd Azam berkata, suspek dihantar ke hospital untuk mengambil sampel darah untuk pemeriksaan kandungan alkohol dalam badan.

“Semakan rekod dapati suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau,  tujuh rekod saman trafik yang tertunggak dan dua waran tangkap trafik,” katanya lagi.

Kes berkenaan disiasat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MalaysiaGazette