PARIS – Polis Perancis dan perusuh telah bertempur di bandar Marseille dalam protes yang memasuki hari kelima susulan kematian seorang remaja yang ditembak polis dari jarak dekat minggu lalu.
Video menunjukkan polis menggunakan gas pemedih mata dalam menghentikan rusuhan itu.
Seramai 56 orang telah ditahan di bandar selatan Perancis ini.
Kehadiran polis yang ramai di tengah-tengah Paris setakat ini berjaya menghalang protes tersebut.
Banyak bandar Perancis telah menjadi huru-hara sejak Selasa lalu selepas pembunuhan berlaku di pinggir bandar Nanterre di Paris.
Menteri Dalam Negeri Gérald Darmanin menerusi Twitter menulis sejumlah 427 orang ditahan semalam.
Kira-kira 45,000 polis dikerahkan di seluruh negara pada hari Sabtu.
Lebih 1,300 tangkapan dibuat pada malam Jumaat dan lebih 900 orang pada hari Khamis.
Di Marseille, pertempuran sengit telah berlaku antara polis dan perusuh sepanjang petang Sabtu.
Dalam rakaman yang tular di media sosial, polis terpaksa menggunakan gas pemedih mata terhadap orang ramai di bandar itu.
Video itu menunjukkan pertempuran berlaku di La Canebière, jalan utama di tengah-tengah Marseille.
Media Perancis melaporkan pertempuran telah berlaku antara sekumpulan besar perusuh dan anggota polis di kawasan itu selama lebih satu jam.
Di Paris, sejumlah besar polis dilihat di sepanjang Champs-Elysees, lokasi ikonik walaupun pelbagai ada pihak memujul supaya penunjuk perasaan berkumpul di sini.
Namun, kehadiran polis yang ramai berjaya menghalang penunjuk perasaan.
Selain itu, Paris turut menghentikan semua operasi bas dan trem selepas jam 9 malam untuk malam kedua.
Dalam pada itu, pengebumian Nahel M, 17, telah diadakan di Nanterre pada hari Sabtu. – Agensi















