Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengumumkan inisiatif tambahan pengurangan kompaun bertujuan menyokong komuniti perniagaan dan korporat mengharungi fasa pemulihan masa kini.

Inisiatif pengurangan kompaun di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 ini melibatkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal bagi Seksyen 68(2) dan Seksyen 68(3) Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 kepada pemilik Perkongsian Liabiliti Terhad yang telah ditawarkan kompaun dan telah patuh.

SSM dalam kenyataanya berkata, inisiatif ini berkuatkuasa mulai 3 Julai 2023 hingga 31 Disember 2023 dan bakal memanfaatkan 16,765 Perkongsian Liabiliti Terhad.

Inisiatif ini selaras dengan usaha SSM untuk mendorong pematuhan perundangan di samping mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia.

Inisiatif ini juga diharapkan dapat membantu komuniti perniagaan dan korporat untuk meneruskan perniagaan di dalam persekitaran perniagaan yang mencabar pasca pandemik Covid-19.

Pada awal tahun ini, SSM telah mengumumkan lapan inistiatif bagi membantu pemulihan ekonomi negara 2023 termasuk tiga inisiatif pengurangan kompaun. – MalaysiaGazette