Foto Facebook Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan rasa dukacita ekoran empat jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu di Mekah baru-baru ini.

Istana Negara memaklumkan, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh keluarga mereka bersabar dan tabah menghadapi dugaan serta suasana pilu itu.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri juga menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga empat jemaah haji tersebut.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh-roh Allahyarham dan Allahyarhamah dicucuri rahmat oleh Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman dan beramal soleh,” kata Istana Negara menerusi akaun Facebook hari ini.

Empat jemaah haji tersebut ialah Mohd. Zaini Md, Esa, 60; Radzi Taib, 72; Bibi@Hasbi Bujang, 74, dan Salinda Musni Salehan, 56.

Semalam, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah selamat kembali ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah yang diiringi Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berangkat ke Tanah Suci pada 21 Jun lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast