Gambar tular media sosial suami pelakon wanita yang mempamerkan nombor plat fancy QPA1 untuk kenderaan supercar jenis McLaren akhirnya dikesan dan direkam keterangan oleh polis

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih belum menerima sebarang laporan polis berhubung nombor plat fancy QPA1 membabitkan sebuah kereta mewah jenis McLaren Mercedes yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain juga mengesahkan nombor pendaftaran QPA1 itu sememangnya wujud dan digunakan oleh sebuah kereta mewah jenis Mercedes.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga telah memohon bantuan pihaknya untuk mengesan dan menyelesaikan isu tersebut selepas mendapati nombor pendaftaran itu digunakan secara fancy  dan menjadi tular apabila dimuat naik oleh suami kepada pelakon, Fatin Afeefa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain

“Sekiranya kami (polis KL) mendapat laporan, kita akan melakukan siasatan sekiranya terdapat kesalahan oleh kenderaan itu.

“Namun pada masa yang sama, kami ada menerima permohonan bantuan daripada pihak JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membuka First Information Report (FIR) berhubung perkara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Operasi Pematuhan Peraturan Lalu Lintas membabitkan 16 lokasi di ibu negara bermula hari ini sehingga penghujung Julai 2023.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily menambah, tanpa sebarang laporan atau permohonan rasmi, pihaknya tidak boleh membuka kertas siasatan.

“Apa pun, siasatan akan dibuka bagi mendapatkan bukti sekiranya berlaku sebarang kesalahan atau perlanggaran undang-undang dilakukan kenderaan itu termasuklah jika terdapat pemalsuan dokumen atau sebagainya.

“Jika ada laporan polis, maka kita (polis) akan mengarahkan pihak terlibat untuk membuat keterangan percakapan. Untuk FIR, sesiapa sahaja boleh membuat laporan kepada pihak polis,” katanya lagi.

Sebelum ini, suami kepada Fatin Afeefa, Aliff Awang atau mesra sebagai Opai menyatakan dia masih tidak menerima sebarang panggilan atau surat daripada JPJ seperti yang didakwa sebelum ini.

Opai sebelum ini tular di media sosial apabila bergambar dengan sebuah kereta mewah dengan memaparkan plat kenderaan OPA1.-MalaysiaGazette