Pusat Sains Negara, KL.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menawarkan tiket masuk percuma kepada murid-murid untuk tujuan lawatan pendidikan ke Pusat Sains Negara (PSN) Kuala Lumpur dan cawangan Wilayah Utara (Alor Setar) termasuk Planetarium Negara.

Menterinya, Chang Lih Kang berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha bersepadu untuk menjayakan dasar kerajaan mendekatkan sains dan teknologi kepada rakyat serta menyemai minat pelajar terhadap subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).

“Saya percaya MOSTI juga memainkan peranan penting dalam menyokong pembelajaran STEM secara tidak formal (informal learning) melalui kemudahan Pusat Sains Negara dan juga Planetarium Negara.”

“Diharap inisiatif ini akan dapat memupuk minat dalam kalangan pelajar sekolah khususnya terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi (STI),” kata beliau menerusi kenyataan.

Terdahulu katanya, MOSTI menyambut baik inisiatif dan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menggalakkan sekolah menganjurkan lawatan pendidikan bagi murid-murid sebagai langkah pengukuhan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P).

Menurut Chang, MOSTI menyediakan kemudahan PSN dan Planetarium Negara dengan 1001 pengalaman sains dan teknologi kepada pengunjung, terutama golongan pelajar sebagai usaha mendekatkan sains, teknologi dan inovasi kepada rakyat.

Tambahnya lagi, PSN juga menyediakan pelbagai pengalaman sains dan teknologi di galeri pameran dalaman (indoor) dan zon pameran luar (outdoor) yang menyediakan pelbagai barangan pameran dan aktiviti seperti sains fizik, sains hayat, sains kimia, sains mekanikal, sains aeronautik dan sains angkasa untuk pengunjung memahami sains dan teknologi dalam kehidupan.

Pengunjung PSN juga berpeluang ke galeri pameran bertema, termasuk pameran Obskura XR untuk meneroka teknologi realiti maya dan pameran zaman Encounter Dinosour mengenai fakta sains dan alam prasejarah. Pameran dengan kerjasama rakan strategik luar ini tidak termasuk dalam tawaran tiket percuma kepada pelajar.

Di Planetarium Negara pula, MOSTI menyediakan pameran untuk pelajar meneroka pengalaman astronomi dan sains alam angkasa lepas yang kini menjadi sebahagian kegunaan kehidupan harian manusia di serata pelosok dunia.

“Planetarium Negara yang kini dalam proses pembaikan untuk keselesaan pengunjung dijangka akan siap tidak lama dan akan dibuka semula kepada pengunjung pada bulan Ogos ini,” tambah beliau.

Planetarium Negara menyediakan pelbagai galeri, sesi demonstrasi sains dan aktiviti untuk merangsang minat pengunjung kepada kehebatan ciptaan astronomi dan sains angkasa lepas yang sangat berguna dan bermanfaat kepada pelbagai aktiviti sosial, industri dan ekonomi negara. – MalaysiaGazette